projekmmoPendapat

Teliti isu India Muslim jadi Bumiputera ― Ibrahim Ali

21 JULAI ― Kerajaan hendaklah mengkaji dengan penuh teliti dan memperhalusi terutama aspek perlembagaan, perundangan, sensitiviti dan sejarah taraf Bumiputera bagi memastikan tidak timbul pelbagai implikasi termasuk boleh menjadi precedent (contoh awal) pada masa akan datang.

Pandangan saya ini jangan disalahertikan atau disalahtafsir. India Muslim adalah saudara seagama dan sebagai orang Islam kita semua bersaudara.

Tetapi dunia tahu bahawa peribumi atau Bumiputera adalah kaum asal sesebuah negara tanpa mengira agama. Sebab itu berbagai-bagai etnik di Sabah dan Sarawak juga Bumiputera.

Apakah status Bumiputera kepada India Muslim dibuat atas pertimbangan agama atau ada alasan lain? Apakah orang Islam dari kaum-kaum lain juga berhak mendapat status Bumiputera? Ia sama ada yang lahir di Malaysia atau asalnya lahir di luar Malaysia dan menjadi warganegara Malaysia.

Perkara ini sangat sensitif serta berbagai-bagai implikasi akan timbul dan perkara-perkara yang berkaitan dengan taraf atau status sesuatu kaum di Malaysia hendaklah dikaji dengan halus dari semua aspek termasuk penerimaan Bumiputera yang sedia ada.

Isu ini akan menjadi polimik sensitif. Perkasa hanya memberi pandangan dan peringatan supaya apa juga keputusan penting tidak dibuat dengan tergesa-gesa dan mudah.

Asal mana ia selari dengan perlembagaan, sejarah dan mendapat sokongan semua pihak. Perkasa turut memberi sokongan, pandangan dan juga teguran untuk keharmonian serta kesejahteraan semua pihak.

* Datuk Paduka Dr Ibrahim Ali adalah presiden Perkasa

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail Online.

Lagi Video di MMOTV