projekmmoPendapat

Siasat penuh kes bunuh Kim Jong-nam — Tian Chua

16 FEBRUARI — Rakyat Malaysia cukup terkejut membaca berita pembunuhan Kim Jong-nam atau Kim Chol, mengikut pasport yang dipegang mendiang, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2).

Ini merupakan pembunuhan warga asing berprofil tinggi di negara ini, dan termasuk di kalangan kes pembunuhan Altantuya Shaaribu (Mongolia) dan Hussein Najadi (Bahrain-Iran).

Walaupun pembunuhan dipercayai berlaku sebelum kaunter imigresen di klia2, pihak berkuasa bertanggungjawab untuk melakukan siasatan penuh dan terbuka untuk mengenal pasti kelemahan aspek-aspek keselamatan sedia ada di klia2 yang telah membolehkan dua wanita yang dipercayai membunuh Kim Jong-nam melakukan jenayah ini serta melarikan diri.

Siasatan penuh dan terbuka ini amat diperlukan untuk memastikan Malaysia tidak dilibatkan dalam kancah konflik antarabangsa.

Pada masa yang sama, pembunuh-pembunuh ini perlu dihadapkan ke mahkamah di Malaysia dan tidak diekstradisi ke negara lain.

Saya menggesa Menteri Luar Negeri Datuk Seri Anifah Aman untuk segera mengeluarkan kenyataan bagi menerangkan pendirian kerajaan dalam kes ini kepada masyarakat antarabangsa.

Wisma Putra perlu memastikan persepsi dunia terhadap negara kita tidak menjadi lebih teruk. Malaysia tidak boleh dijadikan pusat jenayah antarabangsa.

* Tian Chua, ahli parlimen Batu, adalah naib presiden PKR

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail Online.

Lagi Video di MMOTV