projekmmoPendapat

Selangor jawab isu tanah Ijok — Yin Shao Loong

15 FEBRUARI — Merujuk kepada kenyataan pengarah komunikasi strategi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan semalam, ia jelas menunjukkan Umno dan Barisan Nasional panik kerana Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dapat menyelesaikan masalah peneroka tanah terbabit hanya dalam tempoh empat tahun, berbanding pengurusan Felda yang semakin tenggelam dengan penyelewengan.

Menteri besar amat mementingkan pembelaan peneroka tanah di mukim Ijok itu dan setiap peneroka terbabit mendapat pampasan sebanyak RM180,000 dan rumah yang sekarang bernilai sekurang-kurangnya RM400,000.

Masalah berkenaan sebenarnya timbul pada masa pentadbiran Umno atau BN, yang mana peneroka telah menunggu selama 18 tahun untuk memperoleh keadilan. Tindakan segera Mohamed Azmin menyelesaikannya adalah merupakan prinsip keadilan sosial dan peduli rakyat kerajaan negeri Selangor.

Bagaimanapun, tindakan Abdul Rahman mempersoalkan langkah kerajaan negeri jelas menunjukkan pemimpin BN itu dangkal, tidak faham fakta dan tidak memahami latar kes mahkamah berhubung isu tanah di Ijok.

Meskipun tanah itu diberi kebenaran untuk dirampas dalam keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, namun kerajaan negeri perlu membayar pampasan sehingga ratusan juta ringgit kepada dua syarikat dan bank yang memberi pinjaman kepada dua syarikat itu.

Ia menunjukkan tindakan bekas menteri besar Tan Sri Khalid Ibrahim berisiko tinggi terhadap perbendaharaan negeri.

Masalah itu yang diwarisi Mohamed Azmin telah dapat diselesaikan dengan menjual tanah berkenaan kepada pemaju berwibawa sebanyak RM1.18 bilion dan membolehkan peneroka memperoleh pampasan dan rumah kediaman.

Keadaan ini jelas berbeza dengan Umno atau BN yang "menghadiahkan" tanah seluas 3,200 ekar di Ijok itu dengan harga murah kepada syarikat kroni serta mengabai nasib peneroka, berbanding Mohamed Azmin yang membela peneroka terbabit.

* Yin Shao Loong adalah pengarah komunikasi strategik Pejabat Menteri Besar Selangor

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail.

Lagi Video di MMOTV