projekmmoPendapat

Rakyat mahu Christina, bukan Lajim — Nurul Izzah Anwar

20 APRIL — Lanjutan lantikan Datuk Seri Lajim Ukin sebagai ketua pembangkang Sabah jelas tidak demokratik.

Datuk Seri Lajim tidak mewakili suara majoriti pembangkang iaitu PKR, DAP dan Warisan Sabah yang menyatakan sokongan melantik YB Christina Liew sebagai ketua pembangkang Sabah.

Malah usaha membantah lantikan berkenaan ditolak mentah-mentah oleh Speaker DUN Datuk Syed Abas Syed Ali.

Justeru, saya memberi sokongan penuh terhadap enam Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah yang membantah lantikan Datuk Seri Lajim sebagai ketua pembangkang Sabah dan bertegas mahukan wakil yang disokong oleh majoriti pembangkang, YB Christina sebagai ketua yang baru.

Yang pasti, YB Christina bukan sahaja mendapat sokongan majoriti wakil pembangkang malah seluruh pimpinan PKR yang amat menyanjungi kepimpinan beliau di Sabah, terutama komitmen beliau dalam membawa agenda rakyat Sabah.

Kedudukan Datuk Seri Lajim sebagai ketua pembangkang adalah tidak wajar, memandangkan beliau bukan sekadar tidak mendapat sokongan majoriti, bahkan bantahan yang terhasil adalah kerana kebelakangan ini beliau berkelakuan seperti wakil kerajaan dalam pembangkang.

Demi memastikan norma demokrasi berparlimen tidak dirobek, saya menyeru Speaker DUN Sabah memperbetulkan keputusan ini.

Ini kerana ketua pembangkang haruslah seorang individu yang mendapat sokongan majoriti wakil pembangkang, sama seperti lantikan ketua menteri yang harus mendapat sokongan semua Adun kerajaan.

Jikalau di peringkat pusat, kami sudah berdepan dengan cabaran keputusan Speaker Dewan Rakyat yang sering kali secara unilateral mengutamakan rang undang-undang tertentu mengatasi aspirasi rakyat.

Saya tidak mahu amalan yang sama berlaku di Sabah.

* Nurul Izzah Anwar, ahli parlimen Lembah Pantai, adalah juga naib presiden PKR

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail Online.

Lagi Video di MMOTV