projekmmoPendapat

Pulau Pinang musnahkan hutan bakau — SM Mohamed Idris

16 FEBRUARI — Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) kesal dengan kenyataan Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang Phee Boon Poh, yang dilaporkan dalam akhbar semalam kerana sanggup memusnahkan hutan paya bakau di Bagan Jermal bagi memberi laluan kepada pelaksanaan projek tambakan laut di kawasan itu.

Menurut Phee aktiviti penebangan hutan paya bakau berkeluasan 9.38 hektar bertujuan untuk menjana pendapatan kerajaan negeri dari terbiar begitu sahaja tanpa sebarang hasil.

Mengulas laporan akhbar tempatan (Berita Harian, 15 Februari 2017) mengenai perkara itu, CAP meminta Phee membuktikan hasil kajian yang menunjukkan bahawa hutan paya bakau yang terlibat di kawasan tersebut terbiar tanpa memberi apa-apa faedah kepada alam sekitar dan kehidupan nelayan tempatan.

CAP berharap beliau tidak hanya memandang bintang di langit (projek pembangunan) tetapi lupa rumput di bumi (alam sekitar dan kehidupan rakyat).

Hutan paya bakau yang terdapat di kawasan Bagan Jermal dan seluruh negeri ini merupakan khazanah alam semulajadi yang tidak ternilai jika exco alam sekitar ini hendak bandingkan dengan projek pembangunan yang hendak dilaksanakan oleh kerajaan Pulau Pinang.

Nilai paya bakau di Malaysia untuk perlindungan dari ribut dan mengawal banjir adalah dianggarkan USD300,000 per kilometer pesisiran pantai, berdasarkan kepada kos penggantian bakau dengan tembok batu (Ramsar Secretariat, 2001).

Hutan paya bakau juga menyimpan sejumlah besar stok karbon. Fungsinya sebagai sinki karbon iaitu menyimpan karbon dioksida menyumbang kepada mitigasi perubahan iklim.

Hutan paya bakau di kawasan tersebut bukan saja menjadi benteng kepada ancaman tsunami tetapi yang lebih penting ia merupakan tempat pembiakan hidupan laut yang menghasilkan sumber pendapatan kepada masyarakat nelayan dan generasi masa depan mereka serta bekalan makanan untuk rakyat.

Laporan UNEP-WCMC tahun 2006 menyatakan bahawa hutan paya bakau di Semanjung Malaysia menyokong perikanan bernilai US$250,000(RM1.1 juta)/km2/tahun.

CAP berasa kecewa seorang exco alam sekitar dan kebajikan tidak sedar tentang kesemua fungsi-fungsi bakau kepada alam sekitar dan ekonomi rakyat.

Dengan itu kami meminta Phee turun padang melihat secara dekat apa yang telah berlaku ke atas alam sekitar, sumber perikanan dan kehidupan nelayan pantai di Balik Pulau dan Seberang Perai Selatan (SPS) akibat kemusnahan hutan paya bakau di kawasan berkenaan.

CAP membantah keras aktiviti penambakan laut di negeri ini dan menggesa kerajaan Pulau Pinang membatalkan semua projek pembangunan yang melibatkan hutan paya bakau dan boleh menjejaskan alam sekitar serta kehidupan rakyat.

CAP berpendapat program penanaman semula pokok bakau perlu dilaksanakan secara meluas di negeri ini agar khazanah alam semulajadi itu terus kekal.

* SM Mohamed Idris merupakan presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail Online.

Lagi Video di MMOTV

NYT Video: Anatomy of a scene – ‘Lion’ (02:49)

Garth Davis narrates a sequence from his film featuring Sunny Pawar. — The New York Times