projekmmoPendapat

PAS tolak, ada isu pinda Akta 164 — Nasrudin Hassan

11 OGOS — Akta 164 ialah suatu Akta Membaharui Undang-Undang Perkahwinan dan Penceraian 1976.

Terdapat beberapa isu kontroversi mengenai Akta 164 (pindaan) 2016 ini. Meskipun Seksyen baharu 88A yang dicadangkan dalam pindaan 2016 sebelum ini telah ditarik balik 7 Ogos lalu, namun masih banyak isu berbangkit yang melibatkan percanggahan dengan Perlembagaan Persekutuan.

PAS melihat Pindaan Akta 164 ini sangat penting justeru ia melibatkan kepentingan agama, keadilan dan undang-undang pula melibatkan muslim dan bukan muslim sedang kedua-dua pihak perlu diberikan keadilan dan memulangkan hak mereka.

Meluluskan Akta 164 (pindaan) 2016 setelah dikemukakan kembali pada hari Selasa baru ini ke Dewan Rakyat secara tergesa-gesa pasti sahaja masih tidak dapat menyelesaikan masalah yang kompleks dan berlangsung polemiknya sejak sekian lama.

Justeru itulah, PAS sebelumnya mencadangkan supaya Akta 164 (Pindaan) 2016 ini ditarik balik atau ditangguhkan.

Rasionalnya supaya pindaan Akta 164 diteliti semula sebelum diangkat dan dibahas dengan perhatian kepada:

i) mengambil kira fatwa yang telah dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan lantaran ia melibatkan agama; 

ii) melihat kepentingan dan isu berbangkit melibatkan saudara baru (muallaf) mendepani kehidupan mereka dalam suasana baru; 

iii) mengambil kira pandangan dan aduan dari pihak bukan muslim serta masalah yang mereka hadapi untuk memberi dan memulangkan hak mereka;

iv) meluruskan pindaan Akta 164 dengan peruntukan perlembagaan yang meletakkan hak kepada semua dengan Islam sebagai agama persekutuan dan bidang kuasa mahkamah syariah;

v) demikian juga peruntukan Senarai II Jadual 9 (bidang kuasa negeri apabila menyentuh undang-undang diri dan keluarga seseorang yang menjadi muslim);

vi) percanggahan dengan Akta 303 Seksyen 46(A) dan enakmen-enakmen negeri yang memperuntukan peruntukan yang sama.

Bagi merealisasikan maksud itu, PAS melalui YB Datuk Takiyudin Hassan (wakil rakyat Kota Baru) telah mengemukakan suatu cadangan penting:

i) supaya kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa khas yang dianggotai oleh pelbagai pihak berkepentingan melibatkan kerajaan, parti politik, NGO, agensi agama dan sebagainya bagi membincang secara halus dan terperinci pindaan Akta 164 ini.

Namun, kiranya kerajaan bermaksud mahu meluluskan juga Pindaan Akta 164 tanpa menimbang cadangan PAS supaya menangguhkan pindaan ini, maka wakil Kota Baru mencadangkan penyelesaiannya:

ii) menubuhkan badan atau tribunal mediasi bagi mengharmonikan penyelesaian antara pihak yang berpolemik. Terdiri daripada pihak berwajib, pakar perundangan, pihak yang berautoriti dari kedua-dua pihak yang terlibat dan sebagainya.

YB Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali (wakil rakyat Kuala Nerus) menambah agar tribunal mediasi ini diaktakan supaya ia menjadi satu sistem penyelesaian, mengelak konflik agama, keluarga dan kaum.

Usaha ahli-ahli parlimen PAS yang menggesa supaya ditangguhkan pindaan Akta 164 ini gagal kerana tidak disambut oleh pihak wakil-wakil Barisan Nasional apatah lagi pembangkang yang lain.

Malah percubaan untuk membuat belah bahagian (mengundi) juga gagal kerana syarat layak mohon mengundi ialah mesti berdiri menyokong oleh 15 ahli parlimen.

Perbahasan yang membawa pendirian PAS ini diwakilkan kepada Datuk Takiyudin, yang juga sebagai ketua whip PAS dan Datuk Khairudin Aman Razali. Akhirnya pindaan Akta 164 diluluskan di peringkat dasar dan jawatankuasa sekitar jam 1.00 pagi dengan menyaksikan hanya PAS yang membantah.

* Nasrudin Hassan adalah ketua penerangan PAS dan wakil rakyat Temerloh

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail Online.

Lagi Video di MMOTV