projekmmoPendapat

Kukuhkan BI, mansuhkan DLP — Mohamad Raimi Ab Rahim

3 JANUARI — Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) merujuk kepada berita penangguhan program dwibahasa atau dual-languange program (DLP) di SJK (Tamil) Vivekananda ekoran dari tindakan mahkamah yang diambil oleh ibu bapa murid kerana program tersebut dilihat akan menghapuskan pengajaran dalam bahasa Tamil.

Senario yang berlaku ini adalah satu manifestasi kepada kepincangan yang berlaku dalam program DLP sehingga melahirkan keresahan ibu bapa terhadap pendidikan bahasa ibunda.

Justeru Abim menggesa agar Kementerian Pendidikan kembali fokus kepada usaha mengukuhkan Bahasa Inggeris (BI) menerusi pemantapan dan pengemaskinian pembelajaran Bahasa Inggeris di sekolah dan bukan menerusi pengajaran dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam bahasa Inggeris.

Pengukuhan kurikulum Bahasa Inggeris boleh dilaksanakan berdasarkan Common European Framework of Reference for Languages (CEFR) yang mana dikatakan sesuai untuk penutur Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua, bahkan program-program berasaskan highly immersive program yang lebih praktikal sifatnya boleh dilaksanakan.

Di samping itu pengetahuan pedagogi kandungan, atau pedagogical content knowledge (PCK), disiplin bidang Bahasa Inggeris perlu dipertingkatkan dalam kalangan guru-guru bahasa Inggeris.

Pelaksanaan DLP tidak hanya akan menyambung kegagalan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), yang terbukti secara kajian akademiknya, bahkan juga merupakan satu penganiayaan terhadap pelajar-pelajar, ibu bapa serta warga pendidik secara keseluruhannya.

Program ini juga akan melahirkan kasta dalam pendidikan apabila para murid tidak dibentuk dalam satu acuan pendidikan kebangsaan yang sama.

Maka, Abim menggesa agar pihak kerajaan memansuhkan program DLP berkuatkuasa tahun hadapan dan kembali kepada landasan dasar bahasa kebangsaan dalam pendidikan kebangsaan yang semakin terpesong melalui DLP.

* Mohamad Raimi Ab Rahim adalah presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail.

Lagi Video di MMOTV