projekmmoPendapat

Kadar parkir DBKL zalimi anak muda — Fahmi Fadzil

18 JULAI — Warga Kuala Lumpur hari ini dikejutkan berita peningkatan caj letak kereta di pusat perniagaan utama Kuala Lumpur serta kawasan-kawasan sekitar.

Dasar yang cuai seperti ini dan juga pengumuman had letak kereta 2 jam di pusat perniagaan utama Kuala Lumpur akan terus membebankan penduduk dan semua yang berulang-alik ke Kuala Lumpur, terutama keluarga-keluarga miskin dan anak muda.

Satu laporan berita menanggarkan kos meletak kereta mencecah RM32 sehari, manakala selepas Ogos mereka yang meletak kereta di kebanyakan kawasan di Kuala Lumpur akan dibebankan peningkatan caj letak kereta antara 100-200 per cent.

Namun bila diteliti dasar ini, yang kononnya berniat mengurangkan jumlah kereta yang masuk ke KL yang dipandu seorang penumpang, saya terpanggil untuk bertanya sama ada sistem pengangkutan awam sedia ada — dari bas, tren komuter, termasuk jaringan LRT/monorel — bersedia menanggung peningkatan jumlah penumpang sehingga hampir sejuta orang sehari?

Mengikut laporan SPAD, sehingga Disember 2015, terdapat 11 pengendali bas di Lembah Klang yang mengendalikan 1,500 bas dan mengangkut sekitar 600,000 penumpang sehari.

Manakala Prasarana pula berkata, termasuk jaringan LRT Kelana Jaya terbaharu, perkhidmatan LRT dan monorel mengangkut hampir 900,000 orang penumpang setiap hari dengan menggunakan hampir 80 tren.

Adakah Datuk Bandar boleh memberi penjelasan bagaimana dasar terbaharu beliau ini akan mampu ditanggung prasarana pengangkutan awam sedia ada?

Atau adakah dasar beliau ini bakal menyaksikan kegagalan sistem pengangkutan awam pada skala yang besar?

Malah Kementerian Pengangkutan dan SPAD perlu memberi penjelasan sama ada penyelesaian sambungan terakhir — yang menghubungkan penumpang dari rumah ke sistem transit dan dari sistem transit ke destinasi — telah diselesaikan dengan baik demi memastikan pengguna sistem pengangkutan awam tidak terus terbeban.

Apakah jumlah pengguna jalan raya yang memandu seorang diri ini menjadi bukti kegagalan sistemik perancangan transit bandar, kegagalan sistemik di dalam proses penggubalan dasar Umno-Barisan Nasional, dan kegagalan pejabat Datuk Bandar untuk meringankan beban warga kota dengan melaksanakan perubahan yang lebih berperingkat dengan perbincangan dan konsultasi awam dan bukan secara mendadak seperti yang kita saksikan sekarang?

Oleh itu, saya menggesa agar Datuk Bandar dan Kementerian Wilayah Persekutuan untuk berhenti dari mengeluarkan kenyataan atau dasar yang mendatangkan impak serius seperti hari ini.

Saya juga menggesa agar dasar peningkatan caj letak kereta ini ditangguhkan dahulu sehingga isu-isu yang dibangkitkan selesai dan selepas proses konsultasi yang lebih inklusif.

Walaupun Datuk Bandar dan ahli Badan Penasihat memegang jawatan masing-masing tanpa dipilih pengundi, namun orang ramai masih perlu dirujuk dalam proses penggubalan dasar seperti ini.

* Fahmi Fadzil ialah Pengarah Komunikasi PKR

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pandangan Malay Mail Online

Lagi Video di MMOTV