projekmmoPendapat

Jangan beban guru, potong bajet ― Hasan Bahrom

16 MEI ― Sempena sambutan Hari Guru 2017, Parti Amanah Negara (Amanah) ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada warga pendidik di atas sumbangan yang telah dicurahkan dalam usaha membina anak bangsa Malaysia yang punya maruah dan identiti diri.

Kewujudan guru dalam arus perdana pembangunan negara amat signifikan kerana guru adalah pemangkin kepada pembangunan insan yang boleh mencorak masa depan negara.

Berdasarkan tema sambutan hari guru pada tahun ini “Guru pembina negara bangsa” wajar dilihat secara serius dan mendalam. Ia bukan sekadar slogan semata-mata, tetapi wajar diterjemahkan dalam bentuk tindakan dan langkah-langkah yang lebih sistematik dan terancang sesuai dengan tanggungjawab guru.

Sebagai pendidik, guru bertanggungjawab secara terus kepada proses membina bangsa dalam mewujudkan negara bangsa yang harmoni dan kompetatif. Kerjaya guru amat penting dan mulia kerana guru adalah sumber inspirasi dan pencetus obor perubahan masyarakat dan negara. Sejajar dengan falsafah pendidikan negara yang telah dirangka dalam menentukan halatuju pendidikan negara yang holistik.

Memandangkan peranan guru dalam membina negara bangsa amat signifikan, Amanah mencadangkan supaya guru tidak dibebani tugas-tugas di luar daripada bidang keguruan (pengajaran dan pembelajaran).

Sebarang bentuk kerja yang dilakukan di luar fokus akan memberi kesan kepada bidang tugas utama guru itu sendiri.

Justeru itu, pihak kementerian perlulah memikir dan merancang kaedah-kaedah yang lebih sesuai dalam kerangka kerjaya guru bagi mengurangkan beban tugas mereka khususnya tugas-tugas di luar keutamaan sehingga menjejaskan fungsi guru sebagai seorang mu'allim, muaddib dan murabbi.

Penambahan kakikatangan perkeranian, mewujudkan jawatan pembantu guru sangat perlu bagi menyelesaikan kerja-kerja perkeranian. Kegagalan menangani persoalan ini memberi kesan kepada rangka membangun negara bangsa.

Sejajar dengan aspirasi tersebut, Amanah ingin mengingatkan dan menggesa kerajaan agar kebajikan guru mesti dipertingkat, peruntukan belanjawan pendidikan tidak dipotong, malah sewajarnya dinaikkan dari masa ke masa, sesuai dengan peranan guru dalam mendidik anak bangsa, dan melahirkan warganegara yang berkualiti, mempunyai jati diri yang hebat dan kuat, insan yang kereatif dan inovatif.

Lebih besar daripada itu, Amanah melihat guru bukan sahaja berperanan mengasuh anak bangsa di institusi persekolahan semata-mata, mereka juga mempunyai peranan dan tanggungjawab yang lebih besar dalam masyarakat sebagai peneroka idea-idea baru, pemikir masa depan dan pencetus perubahan kepada sesuatu bangsa.

Justeru itu, guru harus diberi ruang dan kebebasan untuk menyalurkan pemikiran dan idea mereka dalam menggagaskan nilai-nilai bangsa yang utuh dan segar.

Parti Amanah Negara berkeyakinan guru mempunyai kekuatan dan iltizam yang tinggi dalam merekayasa perubahan sekiranya profesyen keguruan ini diangkat martabatnya sejajar dengan kemuliaan peranan dan tanggungjawabnya.

Amanah beriltizam untuk mengambil pendekatan yang lebih sesuai dengan kerjaya guru, serta menawarkan satu kerangka kerjaya keguruan yang lebih baik dari aspek kebajikan, kelangsungan kerjaya, beban tugas dan kemudahan prasarana pengajaran.

Semua perkara itu perlu dilihat dan diadun agar profesyen keguruan itu mencapai matlamatnya.

* Dr Hasan Bahrom seorang naib presiden Parti Amanah Negara (Amanah)

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail Online.

Lagi Video di MMOTV