projekmmoPendapat

Islam juga ajar elak mudarat — Hasanuddin Mohd Yunus

12 MEI — Islam adalah agama kehidupan dan ia tidak terbatas kepada hal-hal akidah dan syariah sahaja. 

Akhlak yang juga ditekankan dalam Islam merupakan sesuatu yang sangat indah dan manis, buah kepada pokok dan tunjang agama itu.

Walaupun kepada pihak yang menolak seruan akidahnya, Islam masih menawarkan rahmahnya.

Malangnya, kemanisan dan keindahan Islam yang ditawarkan itu telah menjadi kabur akibat perbuatan sesetengah penganutnya, malah kadang kala menimbulkan kecurigaan kepada sesama anak Adam di sekeliling mereka.

Mengapakah, dalam konteks ilmu maqasid syariah misalnya, yang sering kita tonjolkan sekarang adalah meraih keuntungan dan kebaikan (maslahat) tetapi kita kurang menekankan perihal menolak kerosakan dan kemusnahan (mafsadah) sedangkan kedua-dua sama utama.

Memastikan keselesaan pengguna jalan awam sangat penting. Pemerintah wajib menyediakan kemudahan prasana seperti lebuh raya, jalan raya, jalan kampung, jalan motosikal, lorong berbasikal sehingga lorong pejalan kaki.

Mengenai pembahagian kerja dalam melaksanakan tanggungjawab ini, terpulanglah sama ada oleh Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan atau pihak swasta atau atas dasar pemuafakatan penduduk setempat. Yang penting perkhidmatan itu perlu disediakan.

Selepas jalan-jalan disiapkan, penyelengaraan mesti dibuat. Pemerintah yang prihatin tentu akan menanggungnya atas asas tanggunjawabnya kepada orang ramai.

Dalam keadaan tertentu tidak salah untuk berkongsi kos dengan mengenakan sedikit kos kepada orang ramai tetapi ia tidak wajar dijadikan barang perniagaan atau peluang meraih keuntungan, apatah lagi untuk kroni pemerintah.

Semangat perkongsian ini jelas terdapat dalam sistem yang diperkenalkan oleh Tuhan bagi masyarakat Islam.

Kita perlu mengenal pasti walaupun ketika kita cuba melakukan kebaikan, sebarang kesan sampingan yang muncul yang menyusahkan orang lain.

Menyusahkan orang ramai adalah sesuatu yang sangat dilarang.

Dalam banyak keadaan, Islam mengajar kita untuk menghindari keburukan berbanding melakukan kebaikan. Kita perlu membuat banyak pertimbangan walaupun kadang-kadang kita terpaksa menilai kes demi kes yang berbeza-beza.

Demikian agama mengajar kita  menghindari dari menyusahkan orang di sekeliling kita.

Terjemahan: "Sesungguhnya para Malaikat turut terganggu ketika anak-anak Adam (orang ramai) terganggu dengan sesuatu perkara."

Kembali kepada isu perkongsian penggunaan jalan awam, semua pihak perlu pastikan kita dapat membuang apa-apa yang menyusahkan penggunanya.

Sesungguhnya, ia adalah salah satu tanda kita beriman kepada Tuhan.

“Iman itu tujuh puluh cabang lebih atau enam puluh cabang lebih. Yang paling utama adalah ucapan “Laa ilaaha illallah” dan yang paling rendah adalah menyingkirkan rintangan (gangguan) dari jalanan. Dan rasa malu itu juga termasuk salah satu cabang iman.” (Hadis Riwayat Muslim)

Jika kita terjumpa halangan yang menyusahkan orang ramai di jalan awam, dan kita dengan sengaja tidak mengalihkannya, kita sebenarnya berada pada tahap paling rendah iman ketika itu.

Halusnya agama yang mulia ini, kita juga dilarang untuk duduk-duduk di tempat orang ramai lalu lalang kerana ia mungkin menyusahkan pengguna jalan itu.

Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a berkata, bahawa Nabi s.a.w bersabda: 

"Janganlah kalian duduk-duduk di pinggir jalan." Para sahabat bertanya; "Wahai Rasulullah, itu kebiasaan kami yang sudah biasa kami lakukan karena itu menjadi majlis tempat kami untuk bercakap-cakap." 

Beliau bersabda: "Jika kalian tidak mau meninggalkan majlis seperti itu (duduk-duduk di jalan), maka tunaikanlah hak (pengguna) jalan." Sahabat bertanya: "Apa saja hak jalan?" 

Beliau menjawab: "Menundukkan pandangan, MENYINGKIRKAN HALANGAN, menjawab salam dan amar maaruf nahi munkar." (HR. Bukhari)

Membuang sesuatu yang menyusahkan orang ramai ketika menggunakan jalan awam adalah sesuatu yang besar di sisi Tuhan.

"Membuang apa-apa yang menyusahkan di jalanan dikira bersedekah".

Malahan, ia mendapat balasan besar di akhirat nanti.

"Sesungguhnya aku melihat seorang lelaki yang bersenang-senang dan bermain-main di pohon syurga, pohon yang pernah dipotongnya di jalan awam kerana mengganggu orang ramai".

Kalau membuang sebarang halangan yang mengganggu orang ramai di jalanan mendapat perhatian dan ganjaran Tuhan, bagaimana pula kalau kita yang membuat pengguna jalan terhalang, tidak selesa, menyusahkan mereka dan akhirnya memendam rasa marah kepada kita?

Bagaimana jika risalah Islam yang mulia menjadi kabur atau imej umat Islam yang lain tercemar dek perbuatan kita?

* Hasanuddin Mohd Yunus seorang naib presiden Parti Amanah Negara (Amanah)

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail Online.  

Lagi Video di MMOTV