projekmmoPendapat

Haruskah jurulatih bola pergi? — Azizi Ahmad

15 NOVEMBER — “Kalau pemergian saya dapat menyelesaikan segala masalah yang membelenggu pasukan kebangsaan ketika ini, siapkan surat dan saya boleh tandatangani serta merta,” kata Velo Ningada

Sememangnya tujuh perlawanan tanpa kemenangan bukan satu keputusan yang baik bagi mana-mana pengendali pasukan, baik dalam bola sepak atau sukan lain.

Isu dan desakan memecat jurulatih kini kembali lagi terutama bagi pasukan bola sepak Malaysia. 

Sebagai jurulatih untuk “pasukan elit” tidak menjadikan seseorang jurulatih kelihatan cemerlang. Nama-nama besar dalam sejarah bola sepak tempatan kita tidak terkecuali.

Sir Alex Ferguson dilantik sebagai pengurus di Old Trafford pada 6 November 1986. Trofi pertamanya untuk Manchester United adalah Piala FA England di akhir musim 1989-1990 ketika menentang Crystal Palace. Gelaran liga pertama beliau sebagai pengurus dan jurulatih di England adalah pada musim 1992-1993.

Ia mengambil masa tiga tahun untuk meraih kejayaan pertama tambahan dua tahun lagi untuk pencapaian utama di liga utama. Itulah pembuka untuk seorang ahli sukan paling terkenal dalam sejarah bola sepak.

Pemecatan, merehatkan  atau pengunduran diri jurulatih bola sepak Malaysia dan banyak lagi jurulatih sukan lain kerana prestasi pemain dan pasukan yang lemah pasti menjadi tajuk utama.

Ada yang mengatakan ia adil dan patut; ada yang mengatakan ia tidak sesuai untuk berbuat demikian.

Ada juga persoalan sama ada jurulatih adalah “mangsa” badan pengurusan sukan apabila “indeks prestasi” tidak dipenuhi.

Adakah kita kini lupa atau adakah kita terlalu ingin menjadi pemenang dalam semua perkara yang kita lakukan?

Adakah kita meletakkan begitu banyak kepentingan dalam memenangi sukan sehingga ia dengan terang-terangan mengabaikan keperluan dan kesejahteraan para atlet?

Sebagai jurulatih, kemenangan sememangnya sangat penting. Apabila pasukan atau atlet anda menang, apakah itu bermakna anda melakukan tugas anda dengan lebih baik? Adakah ia menjadikan anda jurulatih yang lebih berkesan?

Begitu juga, apabila atlet anda gagal, apakah itu bermakna anda gagal? Adakah atlet dan pasukan kehilangan bukti konkrit ketidakcekapan anda?

Tidak seorang pun daripada kita tahu apa yang tercatat di dalam kontrak di antara jurulatih dan badan sukan itu?

Dalam perkembangan terkini, seseorang “jurulatih” adalah merupakan “kambing hitam”.

Berapa ramaikah pemain atau atlet yang kita tahu merupakan pemenang atau juara sebenar, atau pasukan sukan yang manakah yang benar-benar layak digelar  juara? Kita harus realistik dalam meletakkan sasaran.

Seharusnya, kita hendaklah menjadikan sukan dan permainan aktiviti keutamaan yang menjadikan kita sihat dari segi mental, fizikal dan rohani.

Namun setelah sukan dikomersialkan dan sejak sukan memasuki era “profesional”, kejayaan dan kemenangan telah menjadi percakapan semua orang.

Sudah tentu kita tahu bahawa sukan sepatutnya “semua tentang permainan.” Kita harus sedar dan tahu bahawa bimbingan dari seorang jurulatih adalah tentang  memodelkan peranan yang baik, meningkatkan harga diri dan membangunkan watak.

Selain dari  itu, seseorang  jurulatih hendaklah mengutamakan kebajikan dan kebahagiaan pemain. Seorang jurulatih tidak perlu menjadi ahli sains untuk mengetahui semua perkara ini.

Budaya kemenangan kini telah menjadi sangat penting bagi kita, kerana dengan menjadi “nombor satu” ia merupakan petunjuk kejayaan dan kecekapan kejurulatihan.

Kebanyakan jurulatih sukan, kelab, sekolah tinggi dan kolej telah melupakan misi sebenar mereka sebagai profesional .

Ramai juga jurulatih dan pemain terlupa dan percaya bahawa hasil kemenangan adalah jauh lebih penting daripada proses penyertaan, perkembangan karakter dan kesejahteraan para atlet mereka.

Mereka turut percaya bahawa kegagalan prestasi atlet adalah mencerminkan kegagalan dalam proses pembentukan, pembangunan dan pembinaan pasukan.

Dan mengapa mereka tidak berasa seperti ini apabila jurulatih di setiap peringkat sentiasa dikritik dan dipecat kerana tidak cukup membantu membawa kejuaraan.

Namun, Brian Clough, seorang pengurus terhebat dalam Liga Perdana Inggeris, melihatnya berbeza: “Pemain kalah dalam permainan, bukan taktik. Terdapat ramai ‘tin kosong’ yang bercakap mengenai taktik dan mereka adalah orang yang hampir tidak tahu bagaimana untuk menang di permainan domino”.

Beliau juga percaya bahawa jika berlakunya pemecatan, ia tidak semestinya berakhir dengan jurulatih. “Sekiranya seorang pengerusi memecat pengurus yang mereka sendiri lantik dan pilih, dia juga harus pergi bersama.”

Sekiranya ia memang berlaku, hayatilah intipati kenyataan “bukankah kemenangan datang dan dihasilkan daripada latihan yang terbaik”. Jurulatih Vince Lombardi juga pernah berkata: “Kemenangan bukanlah perkara yang paling penting. Ia adalah satu kemestian”.

* Azizi Ahmad adalah seorang pendidik

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail Online.

Lagi Video di MMOTV