projekmmoPendapat

Guan Eng nafi, exco akui bayar RM208 juta ― Tan Teik Cheng

13 JANUARI ― Penipuan Lim Guan Eng didedah oleh Exco Lim Hock Seng dalam jawapan bertulis kepada DUN.

Kerajaan negeri DAP telah beberapa kali menipu rakyat, malah cuba menjauhkan diri daripada suspek-suspek yang telah direman SPRM berkaitan projek terowong dasar laut yang berharga RM60 bilion.

Tetapi hakikatnya, ahli exco negeri Lim Hock Seng telah mendedahkan penipuan Lim Guan Eng dalam persidangan DUN.

Berdasarkan jawapan bertulis Lim Hock Seng kepada persidangan DUN pada 19 Mei 2017, kerajaan negeri DAP telah membayar RM208 juta kepada Consortium Zenith Construction Sdn Bhd.

Ini bercanggah dengan Lim Guan Eng yang mendakwa bahawa tiada pembayaran walau sesen pun dibuat kepada kontraktor. Percanggahan ini tidak ubah seperti satu penipuan besar.

Ternyata jawapan Lim Hock Seng telah mendedahkan penipuan Lim Guan Eng.

Hakikatnya, kerajaan negeri telah membuat pembayaran untuk laporan Penilaian Impak Alam Sekitar untuk tiga lebuh raya melalui pertukaran tanah seluas 3.7 ekar.

Pendedahan ini merupakan satu tamparan hebat kepada kredibiliti Guan Eng. 

Skandal ini bukan sahaja melibatkan rasuah antara syarikat, tetapi juga melibatkan sebuah syarikat yang dilantik pihak kerajaan negeri.

Ia juga melibatkan pemberian tanah sebagai bayaran. Oleh itu, kerajaan negeri DAP tidak boleh menutup penglibatannya dalam kes ini.

Menurut laporan media, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat mengapa kerajaan negeri DAP membenarkan pra-jual tanah bernilai RM3 bilion walaupun projek tersebut tergendala selama 4 tahun sebelum kerja-kerja pembinaan bermula.

Apa yang paling meragukan bukan setakat pembayaran RM208 juta, tetapi penambahan RM6.3 bilion yang ditanggung sepanjang proses.

Ini melibatkan kepentingan rakyat negeri. Oleh itu, saya menggesa SPRM menjalankan siasatan mendalam dan mendedahkan kebenaran secepat mungkin.

* Datuk Tan Teik Cheng adalah pengerusi Jawatankuasa Perhubungan MCA Pulau Pinang.

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail.

Lagi Video di MMOTV