projekmmoPendapat

Faiz Subri layak ganjaran Olimpik ― Mahfuz Omar

10 JANUARI ― Hari ini saya begitu berbangga serta gembira atas kejayaan rakyat Malaysia bernama Mohd Faiz Subri.

Beliau pemain bola sepak Pulau Pinang yang memenangi anugerah Puskas Fifa dalam ketegori tendangan gol paling cantik di dunia untuk 2016.

Kejayaan beliau menempa sejarah bolasepak Malaysia dan menggemparkan dunia kerana belum pernah mana-mana pemain rantau Asia memenangi anugerah Puskas sejak ia diperkenalkan.

Faiz pula bukannya pemain kebangsaan sebaliknya beliau hanya pemain mewakili Pulau Pinang dalam Liga Malaysia.

Saya berkongsi kegembiraan meraikan detik-detik kejayaan melalui skrin besar ketika nama Faiz dinobat sebagai pemenang bersama keluarga beliau serta penduduk Kampung Tok Kepak Lana Bulu di rumah ayah beliau.

Tendangan Pisang Faiz berjaya menyaingi tendangan Roberto Carlos yang terkenal dengan Tendangan Pisang pada 1997 dari jarak 30 meter yang membawa Brazil mengalahkan Perancis di Paris.

Tendangan Pisang mula diperkenalkan oleh Garinca, pemain Brazil pada 1962 yang membawa Brazil menjadi Juara Piala Dunia.

Kemenangan Tendangan Pisang Faiz itu diumumkan di majlis The Best Fifa Awards yang berlangsung di Zurich bukan sahaja mengharumkam nama negara tetapi juga mengangkat nama Kampung Tok Kepak, Lana Bulu di Jerlun ke peringkat dunia dalam sukan bola sepak.

Saya harap akan lahir lagi anak-anak dari kampung pedalaman di seluruh negara yang akan mengharumkan nama dalam dunia sukan bola sepak.

Sudah sampai masanya satu pelan pembangunan jangka pendek dan panjang untuk mengangkat martabat sukan bola sepak secara bersungguh-sungguh oleh kerajaan dan FAM.

Ia bukan sekadar hanya kebetulan lahirnya individu pemain seperti Faiz tetapi melalui satu perancangan pembangunan melahirkan bintang bolasepak dunia dari Malaysia.

Ia juga untuk meningkatkan mutu sukan bola sepak yang mampu menenggelamkan Samba Brazil mungkin dengan rentak jenama Ronggeng Malaysia.

Kepada kerajaan Malaysia, saya berharap satu ganjaran yang tidak kurang dari apa yang diberikan kepada atlet Olimpik dan Paralimpik akan dapat diberikan kepada Faiz.

Sebagai pemain pasukan Pulau Pinang, kerajaan negeri juga sewajarnya menyediakan ganjaran kepada Faiz.

Begitu juga dengan kerajaan Kedah seharusnya sebagai anak jati negeri,dicadangkan Faiz agar dipertimbangkan satu pemberian sebidang tanah atau sebuah rumah kerana kejayaan ini juga mengharumkan nama Kedah.

Sempena dengan Hari Keputeraan Duli Tuanku Sultan Kedah pada 15 Januari nanti adalah sewajarnya Mohd Faiz Subri dianugerahkan dengan pingat kebesaran.

Kemenangan Faiz juga adalah hadiah buat Tuanku Sultan.

Faiz telah menggunakan Tok Kepak untuk terbangkan Lana Bulu ke Zurich.

Tahniah Faiz, keluarga Pak Long Subri, masyarakat Tok Kepak Lana Bulu serta seluruh rakyat dengan pantun dua kerat:

Tok Kepak Lana Bulu;

Faiz Subri Nombor Satu.

* Datuk Mahfuz Omar adalah ahli Parlimen Pokok Sena.

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail Online.

Lagi Video di MMOTV

Reuters Video: Intel chief pushes back at Trump (1:13)

Director of National Intelligence James Clapper pushed back on President-elect Donald Trump’s suggestion the intelligence community did not have solid evidence that Russia was responsible for email hacks on prominent Democratic organisations and figures during the 2016 election. — Reuters