projekmmoPendapat

Cemar demokrasi ganggu diskusi — PH Johor

12 FEBRUARI — Insiden yang berlaku malam [Sabtu] tadi, di salah sebuah warung dekat Kg Bakar Batu, Johor Baru melibatkan program sembang santai bersama pemimpin Pakatan Harapan, disifatkan sebagai amat memalukan dan mencemarkan demokrasi di Malaysia.

Program yang telah mendapat persetujuan daripada pemilik warung berkenaan telah diganggu oleh tiga orang pemuda seawal program dimulakan sekitar jam 9 malam. Jumlah tersebut meningkat menjadi sekitar 20 orang setengah jam berikutnya.

Daripada lambang dan tulisan tertera pada baju T mereka, pemuda-pemuda tersebut dipercayai daripada Umno dan Barisan Nasional.

Kami melahirkan rasa dukacita terhadap insiden yang berlaku. Dalam keadaan dunia yang semakin maju dan berkembang pesat, Barisan Nasional masih bertindak dengan lagak samseng dan tidak bertamadun. Ternyata ia tindakan yang amat terkebelakang.

Lebih daripada itu, pemilik warung turut diugut dan diberikan tekanan politik oleh pihak Umno BN kerana membenarkan penganjuran program di premis mereka.

Pakatan Harapan beranggapan, kemungkinan tindakan ala samseng yang cukup berani seperti ini adalah dilakukan dengan restu pemimpin Umno dan Barisan Nasional. Justeru, kami mendesak Tan Sri Shahrir Abdul Samad* selaku pemimpin Umno dan Barisan Nasional Johor Bahru, merangkap ahli parlimen di situ, untuk tampil memberi penjelasan dan memohon maaf berhubung hal ini.

Program sembang santai bersama pemimpin Pakatan Harapan malam [10 Februari] tadi telah dihadiri oleh Lim Kit Siang, ahli parlimen Gelang Patah, Andrew Chen (ADUN Stulang), Cheo Yee How (ADUN Pengkalan Rinting), Datuk Osman Sapian (setiausaha PPBM Johor) dan Akmal Nasir, ketua penerangan PKR sebagai tetamu.

Namun akibat insiden yang berlaku, mereka terpaksa bersurai demi mengelakkan pemuda-pemuda ala samseng tersebut bertindak luar rasional dan mengganggu ketenteraman awam.

* Nota editor: Tan Sri Shahrir Samad, dalam laporan semalam, menyatakan “tidak adil” menyalahkan Umno dan Barisan Nasional. Beliau tidak nampak simbol dua parti ini dalam video YB Andrew Chen.

** Kenyataan bersama ini dikeluarkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin (pengerusi Pakatan Harapan Johor), Datuk Dr Shahruddin Md Salleh (pengerusi PPBM Johor), Aminolhuda Hassan (pengerusi Amanah Johor), Hassan Karim (pengerusi PKR Johor) dan Liew Chin Tong (pengerusi DAP Johor).

*** Tulisan ini pendapat peribadi mereka dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail.

Lagi Video di MMOTV