projekmmoPendapat

Bukan pelajar saja, pendidik juga dibuli ― Azizi Ahmad

13 JULAI ― Dalam kebanyakan ruangan berita dan media, selalu dinyatakan bahawa kanak-kanak sekolah atau pelajar yang dibuli.

Ramai yang tidak menghiraukan atau tidak mengendahkan bahawa pekerja juga dibuli.

Pekerja di seluruh dunia termasuk pendidik menghadapi masalah dibuli di tempat kerja.

Membuli di tempat kerja dalam sektor bidang pendidikan berpotensi mempengaruhi pengajaran dan pembelajaran secara negatif dan merupakan kebimbangan yang besar dan pelanggaran hak pekerja, termasuk pendidik dan hak asasi manusia.

Membuli di tempat kerja adalah kelemahan sosial yang kerap berlaku dan mengganggu persekitaran kerja, menjejaskan hubungan dan pertalian serta menyakitkan hati.

Pengetua, guru besar, pegawai pendidikan daerah, pegawai pendidikan negeri atau pegawai pendidikan peringkat tinggi merupakan pelaku utama membuli di tempat kerja dan mereka mensasarkan mereka yang mempunyai status yang lebih rendah (biasanya guru muda atau pendidik yang baru) dan yang lemah.

Bilangan insiden yang dilaporkan, serta penyelidikan terdahulu mengenai buli di tempat kerja secara umum tidak diambil endah mahupun jarang diambil tindakan oleh pihak tertentu.

Buli yang berlaku di sekolah dan institusi pendidikan adalah disebabkan oleh pentadbiran organisasi yang lemah dan penuh kecelaruan.

Pentadbir sekolah dan institusi seperti ini digambarkan sebagai pimpinan yang tidak kompeten, tidak bertanggungjawab, angkuh dan biadap, kurangnya akauntabiliti, keadilan dan ketelusan.

Mangsa sosial yang tidak mampu dan lemah dalam menghadapi tekanan dibuli akan sering tertindas, sering dipersalahkan, mengasingkan diri dan didiskriminasi.

Pembuli menunjukkan ketidakadilan, tidak mengamalkan ketelusan dalam persekitaran kerja, dan menjejaskan serta membahayakan kehidupan profesional mangsa.

Ramai yang ingin berkongsi pengalaman mereka sendiri sebagai mangsa buli di tempat kerja atau ada rakan mangsa yang ingin membantu tetapi memutuskan untuk memelihara ketenteraman dengan ada yang mengatakan “kami terlalu takut untuk menyatakan perkara sebenar bagi pihak rakan sekerja kami” dan “pada masa kini semua orang takut untuk menyatakan dan menyuarakan apa pun”.

Kajian menunjukkan penyalahgunaan lisan (verbal abuse) adalah kekerapan dan gangguan utama yang digunakan oleh pembuli.

Penyebaran gosip dan fitnah berniat jahat adalah rekaan strategi yang paling diutamakan.

Pembuli juga sering membuat ‘ancaman’ dan merupakan taktik pembuli. Pembuli juga menganggu mangsa dengan perlakuan yang tidak sopan, dan kerap merendahkan darjat dan kedudukan mangsa yang dibuli.

Sebagai contoh, pembuli “memperlakukan kami seperti anak-anak muda atau anak-anak, dia tidak menghormati kami” dan “membuat saya merasa tersisih”.

Sikap pilih kasih dan nepotisme maupun kronsime, juga dikenal pasti sebagai ciri membuli di tempat kerja.

Seorang rakan sekerja telah berada di dalam organisasi selama lebih dari 10 tahun, dan selama 10 kali berturut-turut, biasiswa melanjutkan pelajarannya ditolak sedangkan rakan sekerja yang baru berkhidmat kurang dari 5 tahun dalam organisasi berjaya memperolehi biasiswa yang dipohon.

Diskriminasi juga adalah sejenis buli.

Gaya pengurusan autokratik, biadap, angkuh serta penyalahgunaan kuasa oleh 'ketua pembuli' secara berterusan mengakibatkan sikap tidak peduli di kalangan anggota kakitangan (contohnya “Kami hanya berdiam diri semasa mesyuarat. Biarkan dia menjalankan mesyuarat itu sendiri” dan “kini dia takut untuk menyuarakan apa-apa pun”).

'Ketua Jabatan/Ketua Unit' (kebanyakannya pegawai kanan) sering menyalahgunakan kuasa mereka, kerana mereka diberi peluang untuk menentukan kedudukan pembangunan profesional, kenaikan pangkat, beban kerja, serta pelantikan dan pemecatan para pendidik yang berpengalaman dan tidak tetap.

Memang mencabar untuk berurusan dengan ‘kepala pembuli’. Untuk menangani dengan berkesan, anda tentunya memerlukan bantuan.

Menentang mereka secara persendirian atau berseorangan bukanlah sesuatu yang berfaedah dan menguntungkan diri.

Oleh kerana ketua pembuli memang berkedudukan dan berkuasa ke atas anda, mereka boleh membuat kehidupan dan kerja anda seolah “neraka” jika anda cuba melakukan sesuatu yang memalukan atau mencabar ego mereka yang rapuh.

Pendokumentasian adalah satu alat keperluan, yang baik dan tidak boleh dipandang remeh.

Sekiranya anda berurusan dengan ‘bos’ yang dikenali kerana membuli, anda perlu masuk ke dalam “mod wartawan mahkamah” dan secara diam dan senyap dalam mengumpul dokumentasi anda.

Apa saja perkara yang berkaitan dengan insiden pembuli, e-mel atau teks, termasuk kenyataan atau petikan tepat (jika boleh), tarikh, masa, segala-galanya hendaklah dikumpul dan dikemukakan bagi tujuan membuat aduan atau laporan.

Bagi guru dan pendidik Malaysia, mereka mungkin dapat menyalurkan 'aduan' mereka melalui Perkhidmatan Pelanggan Kementerian Pendidikan dengan menelefon Talian Bebas Tol Bulanan (ADU DISIPLIN) 1-800-884774 atau e-mel: E-mel: Kpkkpm@moe.gov.my. Lihat juga http://www.moe.gov.my/index.php/en/contact-kami/suara-anda/khidmat-pelanggan.

* Azizi Ahmad adalah seorang pendidik.

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail Online.

Lagi Video di MMOTV