projekmmoPendapat

Amerika biadap pindah kedutaan — Raja Kamarul Bahrin

7 DISEMBER — Parti Amanah Negara (Amanah) mengecam sekeras-kerasnya tindakan Presiden Donald Trump memindahkan kedutaan Amerika Syarikat ke Baitulmaqdis. 

Sejak menjadi presiden beliau bukan menjadi pendamai tetapi menjadi punca tercetus ketegangan dan persengketaan di Timur Tengah dan juga di Asia terutamanya di Korea. 

Hak orang Islam sedunia tercabar dan maruah kami tercalar teruk hari ini. 

Baitulmaqdis adalah isu terpenting menyelesaikan isu rakyat Palestin dan Islam sedunia. 

Amerika adalah musuh nyata orang Islam dan Palestin dengan tindakan ini yang kami kutuk sekeras-kerasnya. 

Hari ini mereka yang memilih menjadi sekutu rapat Amerika adalah musuh umat Islam. 

Kami menuntut kerajaan Malaysia menghantar bantahan keras ke Amerika atas tindakan memindah kedutaannya ke Baitulmaqdis.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sering mengumumkan hubungan baik dan istimewa beliau dengan Trump. Jika benar hubungan tersebut begitu baik, beliau patut menggunakan hubungan istimewa tersebut untuk mempengaruhi polisi Trump untuk kebaikan umum umat Islam sedunia.

Baik dalam isu pengisytiharan pengharaman umat Islam negara tertentu memasuki Amerika sehingga hasrat Trump memindahkan kedutaan Amerika Syarikat ke Baitulmaqdis, Najib membisu seribu bahasa**. 

Adakah Malaysia mempunyai pendirian dalam isu yang melibatkan salah satu tempat terpenting untuk dunia dan umat Islam ? Adakah Umno yang sedang mempunyai mesyuarat agung membuat pendirian rasmi tentang isu ini?

Apakah pendirian Malaysia dalam isu Amerika memindah kedutaannya ke Baitulmaqdis?

* Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad, seorang pemimpin kanan Parti Amanah Negara Terengganu, adalah ahli parlimen Kuala Terengganu.

** Nota editor: Kenyataan akhbar ini dipercayai disediakan sebelum Umno memutuskan dengan lantang menentang langkah memindahkan kedutaan. Tulisan ini disunting untuk mencerminkan perkembangan terkini.

*** Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail Online.

Lagi Video di MMOTV