projekmmoCari Makan

Menteri: Contohi restoran makan free Jamal

Pengunjung restoran makanan tengah hari percuma beratur di Restoran Gabungan NGO 1Malaysia, Kuala Lumpur, 29 November 2017. — Foto ihsan Facebook/Jamal Md Yunos Pengunjung restoran makanan tengah hari percuma beratur di Restoran Gabungan NGO 1Malaysia, Kuala Lumpur, 29 November 2017. — Foto ihsan Facebook/Jamal Md Yunos KUALA LUMPUR, 30 Nov — Inisiatif Restoran Gabungan NGO 1Malaysia yang menawarkan makanan secara percuma kepada orang ramai di ibu kota disifatkan begitu unik dan  wajar dicontohi dan dilaksanakan di tempat lain.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata restoran yang mengalu-alukan kehadiran semua lapisan penduduk itu terserlah keistimewaannya apabila mampu menjadi wadah penyatuan rakyat pelbagai kaum.

“Saya lihat hari ini pelanggan yang datang penuh dengan keceriaan. Memberi makan kepada orang ramai terutama yang memerlukan merupakan suatu amalan baik yang wajar kita contohi,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Ahmad Shabery turut menikmati juadah makan tengah hari secara percuma itu sambil beramah mesra dengan pengunjung di restoran yang dibuka hasil ilham ketua bahagian Umno Sungai Besar, yang juga pengerusi gabungan itu, Datuk Seri Jamal Md Yunos di Jalan Pahang sejak 16 Oktober lepas.

Perdana Menteri Datuk Najib Razak (kemeja putih) melayan pengunjung ke resoran Datuk Seri Jamal Md Yunos (baju biru) di Kuala Lumpur, 29 November 2017. — Foto ihsan Facebook/Gina Daniel Perdana Menteri Datuk Najib Razak (kemeja putih) melayan pengunjung ke resoran Datuk Seri Jamal Md Yunos (baju biru) di Kuala Lumpur, 29 November 2017. — Foto ihsan Facebook/Gina Daniel Selain juadah utama terdiri nasi, kari ikan dan aneka sayur-sayuran, kira-kira 4,000 pengunjung restoran itu turut dijamu keropok lekor sumbangan Ahmad Shabery yang dibawa khas dari Kemaman, Terengganu.

“Selain mempromosikan makanan Terengganu, hari ini saya juga bawa sukarelawan yang terdiri daripada Wanita Umno Kemaman agar mereka dapat didedahkan cara mengendali restoran sebegini,” katanya.

Restoran, yang dibuka setiap Isnin hingga Jumaat bermula 12 tengah hari hingga 3 petang, menyediakan hidangan makanan tengah hari dengan tujuh menu berbeza secara bergilir. — Bernama

Lagi Video di MMOTV