projekmmoBerita

Zuma umum letak jawatan presiden Afrika Selatan

Jacob Zuma, 75, meletak jawatan presiden Afrika Selatan pada Rabu selepas dipecat Kongres Nasional Afrika. — Foto ReutersJacob Zuma, 75, meletak jawatan presiden Afrika Selatan pada Rabu selepas dipecat Kongres Nasional Afrika. — Foto ReutersJOHANNESBURG, 15 Feb — Jacob Zuma, 75, akhirnya tunduk kepada tekanan dan meletak jawatan sebagai Presiden Afrika Selatan pada Rabu, lapor agensi berita China Xinhua.

“ANC tidak sepatutnya berpecah-belah kerana saya. Oleh itu, saya telah memutuskan untuk meletak jawatan,” umum Zuma ketika berucap kepada rakyat.

Pemimpin yang dilanda masalah itu berkata walaupun beliau tidak bersetuju dengan keputusan Kongres Nasional Afrika (ANC) untuk memecatnya, beliau akan meletak jawatan sebagai presiden republik tersebut.

Peletakan jawatan Zuma adalah susulan kekacauan yang berlaku selama dua minggu dalam parti pemerintah selepas beliau enggan berundur apabila diminta berbuat demikian oleh pemimpin tertinggi ANC.

Mesyuarat jawatankuasa eksekutif kebangsaan ANC pada Isnin memutuskan untuk memecat Zuma sebagai presiden dan memberi tempoh kepada beliau sehingga Rabu untuk mengundurkan diri daripada jawatan tertinggi itu.

Pada Rabu, Zuma berkata beliau tidak diberi peluang untuk memberi penjelasan tentang kesalahannya dan mendakwa telah menjadi mangsa kepimpinan ANC.

Peletakan jawatan Zuma menyaksikan Timbalan Presiden Cyril Ramaphosa telah dilantik sebagai Pemangku Presiden Afrika Selatan.

Beliau akan mengangkat sumpah sebagai Presiden Afrika Selatan pada Khamis atau Jumaat. — Bernama

Lagi Video di MMOTV