projekmmoBerita

Zahid: Tidak perlu lobi, PM tahu calon pilihan rakyat

Zahid berkata BN perlu bijak menggunakan media sosial dan tidak menggunakannya untuk bertelagah sesama sendiri. — Foto oleh Yusof Mat IsaZahid berkata BN perlu bijak menggunakan media sosial dan tidak menggunakannya untuk bertelagah sesama sendiri. — Foto oleh Yusof Mat IsaMELAKA, 29 Julai — Umno dan Barisan Nasional (BN)  akan mengutamakan calon yang dikehendaki dan disenangi rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Justeru, Naib Presiden Umno yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden, itu berkata semua pihak tidak perlu melobi untuk menjadi calon PRU14 kerana Perdana Menteri dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak sendiri tahu calon mana yang disenangi dan menjadi pilihan rakyat.

“Apa yang penting (dalam memilih calon PRU14) adalah pilihan rakyat, citarasa rakyat...siapa yang rakyat mahu itu yang kita utamakan. Siapa yang rakyat mahu itu diberi oleh perdana menteri.

“Tidak perlu melobi (menjadi calon) melalui agensi atau apa sahaja.

“Kali ini perdana menteri tidak akan ambil risiko kalau calon itu tidak dikehendaki rakyat, kita tidak mahu ketepi calon kehendak rakyat,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Tangga Batu di sini malam tadi.

Turut hadir pada majlis di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, di Ayer Keroh itu Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron yang juga Ketua Bahagian Umno Tangga Batu dan lebih 1,000 perwakilan bahagian itu.

Ahmad Zahid berkata apabila pucuk pimpinan telah menentukan calon yang akan bertanding pada PRU14, semua anggota parti perlu menerima dan menzahirkan sokongan kepada calon tersebut bagi memastikan kemenangan parti pada pilihan raya umum itu nanti.

Sementara itu, beliau berkata semua jentera Umno dan BN perlu meletakkan fokus kerja kepada kawasan-kawasan yang dikenal pasti sebagai ‘retain’ dan ‘regain’ menjelang PRU14.

“Kita ada prinsip  ‘retain and  regain’ di mana ‘retain’ kita kekalkan kawasan yang kita miliki, manakala ‘regain’ kita rampas kembali kawasan yang dimenangi pembangkang.

“Bagi kerusi yang akan dimenangi atau bakal dimenangi ini saya rasakan (wakil rakyat) harus turun ke bawah, turun berikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata pucuk pimpinan parti mempunyai maklumat terperinci mengenai wakil rakyat yang kerap turun padang memberikan perkhidmatan rakyat dan wakil rakyat yang gagal berbuat demikian.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata kerjasama parti pembangkang dalam Pakatan Harapan tidak sepadu dan sekukuh kerjasama yang dijalin oleh parti komponen dalam BN.

“Saya lihat yang di sebelah  sana (parti pembangkang) tidak ada kesepaduan antara mereka namun kita 13 parti politik masih kekal dalam BN sejak dahulu lagi.

“Mereka tidak kekal sebab mempunyai hala tuju dan idelogi yang berbeza,” katanya.

Beliau berkata BN perlu bijak menggunakan media terutama media sosial dalam berkomunikasi dengan kumpulan sasaran dan tidak menggunakannya untuk bertelagah sesama sendiri.

“Jika dahulu pada PRU lepas kita tenggelam kerana tidak mahir (dalam media sosial) tetapi tidak lagi sekarang,” katanya. — Bernama

Lagi Video di MMOTV