projekmmoBerita

Wang RM23,000 hangus, warga emas tinggal sehelai sepinggang (VIDEO)

Paparan skrin video menunjukkan penduduk Kampung Jejulok, Tumpat melihat kebakaran rumah Nik Fatimah Daud. ― Foto ihsan Facebook/ Kg Bendang PayongPaparan skrin video menunjukkan penduduk Kampung Jejulok, Tumpat melihat kebakaran rumah Nik Fatimah Daud. ― Foto ihsan Facebook/ Kg Bendang PayongTUMPAT, 13 Sept ― Dua beranak warga emas rugi wang simpanan 23,000 dan barang kemas apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran pagi tadi.

Dalam kejadian di Kampung Jejulok Haji Senik di sini, Nik Fatimah Daud, 67, dan ayahnya, Daud Abdul Rahman, 91, hilang wang simpanan RM10,000 termasuk wang jualan lembu (RM4,000).

“Barang kemas juga habis musnah. Simpanan ayah hasil dari bantuan JKM yang disimpan setiap bulan selama empat tahun (RM13,000) di dalam botol plastik, bawah tilam dan sampul surat juga hangus,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Nik Fatimah bagaimanapun mengakui dia tidak pasti sama ada sudah menutup api masakan sebelum keluar ke pasar tani yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah.

“Sebelum keluar, saya ada panaskan lauk ikan rebus, tapi tidak ingat sama ada sudah menutup api atau belum ketika keluar rumah bersama anak saudara.

“Tidak lama selepas itu, jiran menelefon memberitahu rumah saya terbakar dan dari pasar tani saya dapat lihat asap tebal memenuhi kawasan rumah.

“Saya bergegas pulang dan sangat terkejut apabila melihat rumah musnah,” katanya.

Ketika kejadian anak lelakinya sedang tidur di ruang tamu sementara Daud yang sudah uzur berehat di bangsal sebelah rumah namun sempat diselamatkan orang kampung.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

Lagi Video di MMOTV