projekmmoBerita

Walt Disney rayu LPF jangan tapis ‘Beauty and the Beast’

Dan Stevens (kiri) bersama Emma Watson bergambar ketika promosi ‘Beauty and the Beast’ di London pada 23 Februari 2017. — Foto ReutersDan Stevens (kiri) bersama Emma Watson bergambar ketika promosi ‘Beauty and the Beast’ di London pada 23 Februari 2017. — Foto ReutersKUALA LUMPUR, 17 Mac — Walt Disney merayu kepada Lembaga Penapisan Filem (LPF) agar tidak memotong babak gay Beauty and the Beast yang menjadi kontroversi.

Rayuan itu disuarakan oleh studio terkenal kepada LPF, kata pengerusinya Datuk Abdul Halim Abdul Hamid kepada agensi berita AFP semalam.

Bloomberg sebelum ini melaporkan badan penapisan itu memotong lebih empat minit babak-babak yang dianggap kontroversi, termasuk aksi gay.

Abdul Halim, dalam wawancara dengan Harian Metro minggu ini, bagaimanapun mengakui babak berunsur hubungan sejenis itu “tidaklah keterlaluan”.

Beliau menjelaskan LPF membuang lagu yang memaparkan watak LeFou, dibawa Josh Gad, yang dikatakan “mahu mencium” Gaston, lakonan Luke Evans.

“Cara dia [LeFou] menari itu ... [macam] gay dan dialog serta lirik lagu juga [begitu],” kata Abdul Halim kepada AFP.

“Dalam babak itu, dia juga menyelak bajunya dan menunjukkan tanda [gigitan] cinta di perutnya.”

Susulan penapisan itu, Walt Disney menangguhkan tayangan Beauty and the Beast, sepatutnya masuk pawagam mulai semalam, kepada 30 Mac ini.

Penangguhan itu bagi membolehkan LPF menilai semula keputusannya kerana studio itu dilaporkan lebih rela tidak menayangkan filemnya yang telah ditapis.

Selasa lalu, ProjekMMO melaporkan penangguhan filem itu bukanlah keputusan LPF.

“Sebenarnya filem itu kita sudah luluskan selepas membuat sedikit potongan, sebab kita keluarkan adegan berkaitan gay.

“Jadi ia boleh ditayangkan untuk P13. Jadi kanak-kanak pun boleh tonton. Bahagian LPF tiada isu. Kita tidak sekat filem itu,” kata Abdul Halim.

Pelakon utamanya Emma Watson menjelaskan babak tarian di hujung filem itu tidak jelas, hanya membuatkan penonton tertanya-tanya, “ya atau tidak”.

Orientasi seks watak LeFou hanya terdedah sekelip mata dalam tarian akhir filem dan penonton mungkin tidak perasan, lapor The Guardian.

Selain babak tarian itu, menurut ulasan filem di akhbar itu lagi, watak LeFou tidak ada bezanya dengan versi asal animasi muzikal pada 1991. 

Lagi Video di MMOTV