projekmmoBerita

Umno lantik peguam, bela mangsa nahas basikal JB

Umno Johor memperuntukkan RM350,000 melantik Tetuan Meneka Kanasmoorthy membantu 16 keluarga mangsa terlibat nahas basikal untuk mengambil tindakan undang-undang.— Foto oleh Choo Choy MayUmno Johor memperuntukkan RM350,000 melantik Tetuan Meneka Kanasmoorthy membantu 16 keluarga mangsa terlibat nahas basikal untuk mengambil tindakan undang-undang.— Foto oleh Choo Choy MayJOHOR BAHRU, 6 Mei—Umno Johor telah melantik sebuah firma guaman untuk membantu 16 keluarga mangsa yang terlibat dalam nahas basikal pada Februari lepas untuk mengambil tindakan undang-undang.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pelantikan Tetuan Meneka Kanasmoorthy itu melibatkan peruntukan sebanyak RM350,000.

“Ia bagi membiayai kos guaman serta kos perubatan melibatkan lapan remaja berbasikal yang cedera dalam nahas berkenaan,” katanya selepas menyampaikan replika cek peruntukan itu kepada wakil firma berkenaan, Mohd Nor Zabidin sempena mesyuarat Badan Perhubungan Umno Johor di sini hari ini.

Mohamed Khaled yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor berkata ini adalah sebahagian daripada usaha bagi membantu keluarga mangsa.

Sementara itu, Mohd Nor berkata proses perundangan itu akan dimulakan selewat-lewatnya pada minggu depan, membabitkan tiga kaunsel.

Dalam kejadian pukul 3 pagi, lapan remaja lelaki maut manakala lapan lagi cedera selepas dirempuh sebuah kereta dipandu seorang wanita ketika semua mangsa sedang menunggang basikal secara berkumpulan di Jalan Lingkaran Dalam di sini 18 Feb lepas.

Mangsa yang terbunuh merupakan pelajar berusia antara 13 hingga 17 tahun.—Bernama

Lagi Video di MMOTV