projekmmoBerita

Tunggu hari akhir, pelajar matrik maut kena kejutan elektrik

Norsiah Shaari, 53, menunjukkan gambar anaknya allahyarham Siti Nur Manisa Azmi Prem Kumar, 19, yang maut dipercayai terkena renjatan elektrik. — Foto BernamaNorsiah Shaari, 53, menunjukkan gambar anaknya allahyarham Siti Nur Manisa Azmi Prem Kumar, 19, yang maut dipercayai terkena renjatan elektrik. — Foto BernamaKEPALA BATAS, 8 Mei — Seorang pelajar perempuan Kolej Matrikulasi Pulau Pinang di Pongsu Seribu di sini ditemui mati dipercayai akibat terkena renjatan elektrik dalam bilik asramanya malam tadi.

Siti Nur Manisa Mohd Azmi, 19, dari George Town ditemui terbaring tidak sedarkan diri oleh rakan sebiliknya pada pukul 8.30 malam sebelum dia dihantar ke Hospital Kepala Batas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Azmi Adam berkata pelajar itu dikatakan baru lepas mandi dan dipercayai terkena renjatan elektrik ketika dia cuba membaiki sambungan plug dalam bilik asramanya.

Ibu mangsa Norsiah Shaari, 53, berkata beliau dan suami baru menemui anak kedua mereka itu kira-kira dua jam sebelum diberitahu mengenai kejadian itu oleh rakan anaknya.

“Saya dan suami pergi menemui Manisa di kolej kerana mahu mengambil barangnya untuk dibawa balik ke rumah. Dia akan tamat sesi pengajiannya esok.

“Kami juga sempat makan bersama di kedai berdekatan sebelum menghantarnya semula ke kolej,” katanya sambil memberitahu anaknya itu mengambil jurusan sains.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Hashim Yahya, Jalan Perak, George Town selepas solat zohor tadi. — Bernama 

Lagi Video di MMOTV