projekmmoBerita

Tunda, saman jika parkir di bahu jalan sekitar KLIA

Pemandu yang meletakkan kenderaan mereka di bahu jalan sekitar KLIA akan ditunda dan disaman polis. — Foto oleh Saw Siow FengPemandu yang meletakkan kenderaan mereka di bahu jalan sekitar KLIA akan ditunda dan disaman polis. — Foto oleh Saw Siow FengSHAH ALAM, 16 Jan — Pemandu yang meletakkan kenderaan mereka di bahu jalan di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, bakal berdepan tindakan tunda dan saman oleh pihak polis.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata tindakan tersebut diambil berikutan masih ramai pengguna yang tidak mematuhi arahan pihak berkuasa supaya tidak menggunakan bahu jalan sekitar kawasan itu sebagai tempat menunggu penumpang di terminal KLIA walaupun tempat meletak kenderaan secara percuma disediakan.

Menurut beliau, antara  kawasan yang menjadi tumpuan pengguna kenderaan untuk menunggu penumpang ialah di sekitar bahu jalan berdekatan terminal berkenaan sehingga stesen minyak Petronas berhampiran.

"Pihak pengurusan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) telah menyediakan kawasan meletak kenderaan yang mencukupi termasuk ruang istirehat, surau, dan tempat makan. Namun, masih ramai yang menggunakan bahu jalan sebagai tempat menunggu.

“Kita tidak akan sesekali berkompromi dan saman RM300 akan dikeluarkan serta-merta kepada pesalah sekiranya mereka masih ingkar," katanya dalam sidang media selepas majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Pada Jumaat lalu, MAHB telah menyediakan ruang parkir percuma untuk mereka yang menunggu ketibaan penumpang di KLIA.

Pengarah Urusan MAHB Datuk Badlisham Ghazali dilaporkan berkata, pihaknya menyediakan ruang parkir di tepi kawasan Long Term Car Park (LTCP) secara percuma selama setengah jam.

Kata Mazlan, pihaknya juga akan menunda kenderaan pengguna jalan raya yang masih ingkar dengan arahan terbabit selain mereka turut dikenakan kompaun apabila mengambil semula kenderaan masing-masing.

“Selain tindakan saman dan tunda kenderaan, pihak kami juga akan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan berkenaan untuk mengenal pasti pengguna jalan raya yang masih berdegil,” tambahnya. — Bernama

Lagi Video di MMOTV