projekmmoBerita

Tol, levi Linkedua lebih rendah; urai trafik sesak

Pengurangan levi dan tol Linkedua bagi menggalakkan kenderaan menggunakan laluan itu berbanding Tambak Johor yang berhadapan isu kesesakan. ― Foto TODAYPengurangan levi dan tol Linkedua bagi menggalakkan kenderaan menggunakan laluan itu berbanding Tambak Johor yang berhadapan isu kesesakan. ― Foto TODAYKUALA LUMPUR, 9 Feb ― Levi kenderaan komersial di Linkedua dikurangkan kepada RM50 bagi kedua-dua laluan keluar dan masuk ke Malaysia mulai 13 Februari, berbanding kadar antara RM100 hingga RM200 ketika ini.  

Selain  itu, caj tol di luar waktu puncak bagi Linkedua iaitu antara 10 pagi hingga 3 petang dan jam 11 malam hingga 5 pagi untuk semua kenderaan kecuali motosikal juga dikurangkan antara 47 peratus hingga 82 peratus mengikut kelas kenderaan,” demikian menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini.

Kenyataan itu menjelaskan bahawa pengurangan levi dan tol di Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) adalah bagi menggalakkan kenderaan menggunakan laluan itu berbanding Tambak Johor yang berhadapan dengan isu kesesakan.

Keputusan kerajaan itu membabitkan levi kepada kenderaan komersial yang keluar dan masuk ke Malaysia dan kadar tol di luar waktu puncak bagi semua jenis kenderaan kecuali motosikal.

Menurut kenyataan itu, kadar baharu selepas pengurangan berkenaan adalah RM4 daripada RM7.50 bagi kenderaan persendirian, teksi (RM3 daripada RM5.70) dan bas (RM4.50 daripada RM9.10) manakala kenderaan komersial bagi kedua-dua kelas 2 dan 3 dikurangkan daripada RM17.10 dan RM34.30 kepada RM4.50 dan RM6.10, sama seperti kadar di Tambak Johor.

Isu kesesakan yang berlaku di Tambak Johor dibincangkan sewaktu pemukiman pemimpin tahunan Malaysia-Singapura baru-baru ini, dan langkah pengurangan kadar levi dan tol berkenaan merupakan beberapa langkah komprehensif bagi mengatasi masalah itu.

Langkah pengurangan levi dan tol itu dijangka dapat mengurangkan kenderaan komersial di Tambak Johor sebanyak 40 peratus.

Menurut kenyataan itu, langkah lain yang sedang diambil kerajaan untuk mengatasi masalah kesesakan yang berlaku di Tambak Johor adalah dengan pembinaan projek Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Baru-Singapura.

“Projek ini akan menghubungi stesen Bukit Chagar di Johor Baru dan Woodlands North, Singapura. Perkhidmatan ini dijangka dapat beroperasi pada 2024 dan membawa 10,000 penumpang dari satu arah dalam masa satu jam.

“RTS dijangka mengurangkan masa perjalanan antara kedua-dua negara kepada 30 minit berbanding lebih sejam pada masa ini.

“Kerajaan Malaysia dan Singapura telah pun menyerahkan surat tawaran kepada syarikat yang akan membina dan mengendalikan perkhidmatan RTS,” katanya.

Katanya bagi mengurangkan kesesakan juga, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) juga akan meningkatkan kekerapan perkhidmatan ulang alik Shuttle Tebrau daripada 26 perjalanan kepada 31 perjalanan setiap hari.

“Ini membolehkan KTMB membawa 1,500 penumpang tambahan menyeberangi Tambak Johor yang ketika ini berjumlah 7,783 sehari.

“Perkhidmatan ini memberi pilihan kepada penumpang yang dapat menjimatkan masa hanya lima minit perjalanan berbanding antara 45 minit hingga dua jam jika menggunakan bas.

“Ia adalah langkah jangka pendek sebelum laluan RTS sepanjang empat kilometer siap sepenuhnya,” katanya.

Menurut kenyataan itu, langkah berkenaan dijangka dapat memanfaatkan pengguna harian yang tidak perlu lagi keluar lebih awal dari rumah pada setiap hari bagi mengelakkan kesesakan.

“Tambahan lagi, ia akan meningkatkan industri pelancongan negara dengan bilangan pelancong dijangka meningkat dengan pengurangan kesesakan di Tambak Johor,” katanya.

Sementara itu, bagi menambah baik pengurusan trafik di Tambak Johor, kerajaan menubuhkan Pasukan Petugas Peringkat Tertinggi yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi mengenal pasti dan membincangkan langkah jangka panjang termasuk hanya mengadakan satu pusat pemeriksaan antara Malaysia dan Singapura.

“Usaha kita untuk meningkatkan lagi sistem perhubungan dan urusan imigresen antara kedua-dua negara adalah manifestasi kesungguhan kedua-dua kerajaan untuk menjalin hubungan dan kerjasama yang akan membawa manfaat kepada rakyat kedua-dua negara,” katanya. ― Bernama

Lagi Video di MMOTV