projekmmoBerita

Tiada saksi, wanita terlepas kes potong kemaluan suami

Suami tertuduh Fatimah Abdullah yang menjadi saksi tunggal pendakwaan gagal hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah (foto) kerana masih berada di negara asalnya Pakistan. — Paparan skrin GoogleSuami tertuduh Fatimah Abdullah yang menjadi saksi tunggal pendakwaan gagal hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah (foto) kerana masih berada di negara asalnya Pakistan. — Paparan skrin GoogleKUALA PILAH, 19 Sept — Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepaskan tanpa membebaskan seorang wanita yang dituduh memotong kemaluan suaminya dalam satu kejadian pada Januari lalu.

Tertuduh, Fatimah Abdullah, 51, dilepaskan setelah pihak pendakwaan gagal membawa pengadu Umar Rahman, 44, yang juga suami wanita itu, seorang warga Pakistan, untuk memberi keterangan di mahkamah.

Hakim Nariman Badruddin membuat keputusan tersebut selepas tiada pengesahan daripada pihak pendakwaan mengenai bila lelaki tersebut akan kembali ke negara ini.

Umar dikatakan kini berada di Pakistan.

Terdahulu, timbalan pendakwa raya Rahimah Abd Majid meminta supaya perbicaraan kes diteruskan dengan menyoal saksi-saksi lain yang hadir termasuk dua orang doktor perubatan.

Bagaimanapun, peguam bela tertuduh J Gunamalar membantah dengan alasan ketidakhadiran pengadu iaitu saksi tunggal kes akan menyebabkan pendakwaan terhadap tertuduh menjadi tidak berasas.

Beliau kemudian memohon mahkamah agar tertuduh dilepaskan di bawah Seksyen 173(g) Kanun Prosedur Jenayah.

Tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap suaminya dengan menggunakan pisau yang berkemungkinan boleh menyebabkan kematian, pada pukul 1.20 pagi, 20 Januari lalu di Jalan Beringin 3, Batu Kikir, dekat sini.

Fatimah didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun, denda dan sebatan, jika sabit kesalahan. — Bernama

Lagi Video di MMOTV