projekmmoBerita

Teruskan sumpah baiah atau mansuh? PAS putuskan 24 Feb

PAS akan menentukan sama ada lafaz sumpah baiah akan terus dikenakan kepada calon PRU14 atau dimansuhkan. — Foto BernamaPAS akan menentukan sama ada lafaz sumpah baiah akan terus dikenakan kepada calon PRU14 atau dimansuhkan. — Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 15 Feb — Majlis Syura Ulama (MSU) PAS bakal memutuskan keperluan penggunaan sumpah baiah talak tiga atau memansuhkannya pada 24 Feb ini.

Mursyidul Am Hashim Jasin berkata badan tertinggi parti itu akan bermesyuarat bagi memperhalusinya termasuk menimbang pandangan semua anggota majlis.

Katanya pertemuan tersebut bakal dihadiri presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang namun lokasi masih belum ditetapkan, lapor Berita Harian.

“Setakat yang saya dengar, ada pandangan yang rasakan perlu [sumpah baiah talak tiga] dan ada kata tidak perlu,” katanya. 

“Jadi semua ini akan dibincang secara terperinci dalam mesyuarat MSU pada 24 Februari ini dan satu keputusan muktamad akan dibuat selepas itu.”

Beliau mengulas perbezaan pandangan dua pemimpin tertinggi PAS sebelum ini berhubung keperluan melafazkan baiah talak tiga bagi calon pilihan raya umum ke-14 (PRU14). 

Ketua Dewan Ulama Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata parti bakal menggugurkan lafaz itu kerana PAS telah kukuh dan ahlinya juga setia.

Namun dibantah Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob yang menganggap ia satu keperluan di negeri itu.  

Hashim berkata sumpah baiah dibuat berdasarkan keperluan dan suasana politik di satu negeri dan ia mampu mencegah perbuatan wakil rakyat lompat parti.

Lagi Video di MMOTV