projekmmoBerita

Telefon terganggu, lelaki Turki ‘kecek Kelate’ jadi buruan (VIDEO)

Fatih Imamoglu mencatat loghat Kelantan dalam buku sebelum diterjemah ke bahasa Inggeris dan Melayu.— Foto ihsan Facebook/Fatih ImamogluFatih Imamoglu mencatat loghat Kelantan dalam buku sebelum diterjemah ke bahasa Inggeris dan Melayu.— Foto ihsan Facebook/Fatih ImamogluKOTA BARU, 15 Mac — Lelaki Turki yang fasih “kecek Kelate” dan boleh “make budu” jadi buruan ramai peminat media sosial sehingga talian telefonnya terganggu.

"Telefon saya sampai 'hang' disebabkan tiba-tiba banyak sangat 'notification' Facebook. Saya pun tidak sangka boleh viral (tular) dengan cepat.

“Dalam masa sama, saya cuak juga kerana tiba-tiba jadi 'buruan'... tiba-tiba popular, ” kata Fatih Imamoglu, 24, kepada Harian Metro selepas video tersebar meluas minggu lalu.

Anak sulung daripada lima beradik itu, menetap di Kelantan sejak 2009, mengambil masa setahun menguasai bahasa Melayu dan loghat negeri itu.

Fatih, juga dikenali Mat Daud, mendedahkan beliau mencatat perkataan-perkataan dalam loghat itu dalam sebuah buku sebelum diterjemah kepada bahasa Inggeris dan Melayu.

“Saya buat buku sendiri dan tulis semua loghat Kelantan yang dituturkan, kemudian terjemah kepada bahasa Inggeris serta bahasa Melayu untuk mudahkan pertuturan,” katanya.

Tiba di sini ketika usia 16 tahun sewaktu mengikut ibu bapanya berniaga, Mat Daud sempat belajar di sebuah sekolah tetapi tidak pulang kembali ke Istanbul kerana terpikat pada Kelantan.

"Demi nak mudahkan berkomunikasi juga, saya tengok drama Melayu yang ada terjemahan supaya saya dapat dalami budaya orang Malaysia keseluruhannya," katanya

Fatih, pengusaha perniagaan kecantikan dan kesihatan di sini suka menikmati pelbagai makanan Kelantan yang unik termasuk budu.

"Budu pun make (makan) tapi jare-jarelah (jarang-jaranglah). Lagi satu Nasi Kak Wok sedap, susoh nok (susah nak) cari di luar (Kelantan)," katanya seperti dilaporkan.

Videonya bertutur dalam loghat Kelantan, selama 56 saat tular, di laman sosial terutama Facebook selepas dimuatkan seorang rakannya.

Lagi Video di MMOTV