projekmmoBerita

Tan Cheng Hoe ketua jurulatih baru Harimau Malaya

Tan Cheng Hoe (kiri) dilantik sebagai ketua jurulatih baru Harimau Malaya selepas Nelo Vingada (tengah) melepaskan jawatannya kelmarin. ― Foto BernamaTan Cheng Hoe (kiri) dilantik sebagai ketua jurulatih baru Harimau Malaya selepas Nelo Vingada (tengah) melepaskan jawatannya kelmarin. ― Foto BernamaKUALA LUMPUR, 8 Dis ― Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan bahawa Tan Cheng Hoe dilantik sebagai ketua jurulatih baharu skuad bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya.

Setiausaha agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin melalui kenyataan ringkas dalam laman Facebook rasmi FAM malam tadi mengucapkan tahniah kepada Cheng Hoe.

“Kami ingin mengucapkan tahniah kepada Tan Cheng Hoe atas perlantikan beliau menjadi Ketua Jurulatih Harimau Malaya yang baharu,” Hamidin dipetik sebagai berkata dalam kenyataan itu.

Cheng Hoe sebelum ini adalah penolong jurulatih untuk skuad berkenaan.

Perlantikan itu adalah bagi mengisi kekosongan jawatan yang ditinggalkan Nelo Vingada yang secara rasmi melepaskan jawatannya selaku ketua jurulatih pasukan kebangsaan berkuat kuasa serta merta kelmarin.

Selain Vingada, dua pembantunya ― Joao Arnaldo Correia De Carvalho dan Francisco Jose Bruto Da Costa,  turut melepaskan jawatan masing-masing selaku penolong jurulatih dan jurulatih kecergasan skuad kebangsaan.

Untuk rekod, Cheng Hoe mempunyai pengalaman luas bersama skuad kebangsaan selain pernah menjadi pembantu jurulatih kepada Datuk K. Rajagobal semasa menjulang Piala AFF Suzuki 2010.

Sebelum menjadi penolong jurulatih Harimau Malaya, Cheng Hoe juga adalah bekas jurulatih pasukan Kedah, yang berjaya mengembalikan kegemilangan skuad berkenaan dalam kancah Liga Malaysia.

Di bawah kendaliannya sejak 2014, Kedah berjaya memenangi Piala Malaysia pada 2016. ― Bernama

Lagi Video di MMOTV