projekmmoBerita

Syed Shamim lihat hikmah tanpa Tasha Manshahar (VIDEO)

Shamim berkata walau tidak lagi bersama Tasha, penyanyi kelahiran Sabah itu tetap dijadikan rujukan dalam bidang perguruan. — Foto oleh Yusof Mat IsaShamim berkata walau tidak lagi bersama Tasha, penyanyi kelahiran Sabah itu tetap dijadikan rujukan dalam bidang perguruan. — Foto oleh Yusof Mat IsaPETALING JAYA, 1 Dis — Penyanyi Syed Shamim mengakui banyak yang dipelajari selepas tidak lagi berduet bersama Tasha Manshahar.

Shamim, 24, berkata walau popularitiya kini semakin menurun namun terdapat hikmah yang dipelajari dalam meneruskan perjalanan sebagai anak seni.

“Betul. Saya mengaku benda itu tetapi bagus untuk saya belajar bagaimana berdiri sendiri dan saya mengaku selama saya bergerak solo ini banyak benda saya belajar.

“Dulu di atas pentas biasa berdua, jadi sekarang saya belajar bagaimana mengawal pentas dan berinteraksi dengan peminat. Itu bagus bagi saya,” katanya kepada ProjekMMO.

Penuntut di Institut Pendidikan Guru Ilmu Khas Kuala Lumpur ini tampil dengan album solo April lalu selepas banyak mencipta nama bersama Tasha.

Lagu duet mereka seperti “Be Mine”, “Selamat Ulang Tahun Cinta” dan “Cuba Teka” sering diputarkan radio dan mendapat tempat di hati anak muda.

Pasangan ini merakamkan “Ragu-Ragu” hasil ciptaan DJ Fuzz tahun lepas sebelum masing-masing membawa haluan sendiri.

Shamim berkata walau kini tidak lagi bersama Tasha, penyanyi kelahiran Sabah itu tetap dijadikan rujukan sebagai mentor dalam bidang perguruan.

Katanya, mereka belum berhasrat kembali berduet memandangkan Tasha kini sudah bergelar seorang guru dan dia akan melalui proses sama tahun depan.

“Buat masa ini duet tidak ada dalam perancangan kerana kami tidak mahu mengganggu fokus utama dia mengajar di sekolah.

“Saya bersama pihak pengurusan sudah berbincang untuk fokus solo dahulu. Kami ada sasaran dan bila sudah dicapai, kami akan cuba dengan benda lain pula.

“Buat masa ini pun Tasha memang tidak terima apa-apa jemputan persembahan kerana fokus dengan mengajar.

“Setakat ini saya bergerak solo bersama rakan-rakan dari FMC,” katanya merujuk Wany Hasrita, Tajul, Ernie Zakri dan Haqiem Rusli.  

Lagi Video di MMOTV