projekmmoBerita

Suami isteri batal saman kes khalwat sebab tiada wang

Foto fail (dari kiri): Dua peguam Adam Luqman dan Yusfarizal Yussoff bersama anak guam mereka Mohd Ridhuan Giman dan Siti Sarah Maulad Abdullah. — Foto oleh Ida Lim Foto fail (dari kiri): Dua peguam Adam Luqman dan Yusfarizal Yussoff bersama anak guam mereka Mohd Ridhuan Giman dan Siti Sarah Maulad Abdullah. — Foto oleh Ida Lim KUALA LUMPUR, 4 Jan — Setelah hampir genap setahun ditangkap khalwat, satu pasangan membatalkan saman dengan alasan menghadapi masalah kewangan. 

Susulan kejadian 8 Januari 2017, Mohd Ridhuan Giman, 35, dan isterinya mengheret Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) ke mahkamah pada Februari lalu. 

Namun beliau dan Siti Sarah Maulad Abdullah, 27, yang tidak hadir di Mahkamah Tinggi hari ini tidak meneruskan tindakan sivil tersebut. 

“Dengan izin, saya berhasrat menarik balik kes ini,” katanya, mendadak, dengan alasan beliau berdepan tiga lagi kes di mahkamah syariah yang perlu difokus. 

“Terlalu banyak kos saya kena tanggung. Kerana kes-kes ini, saya dipecat [kerja] dan saya [terpaksa] bekerja sambilan dan pendapatan saya tidak tetap.” 

Hakim Datuk Nordin Hassan beberapa kali mengesahkan dengan Mohd Ridhuan berhubung hasratnya itu dan bertanya sama ada isterinya juga bersetuju.

“Sebenarnya saya tidak dapat menghubunginya,” kata Mohd Ridhuan lagi, namun menegaskan isterinya juga “tidak lagi berminat” meneruskan saman tersebut.

Peguam persekutuan Kamal Azira Hassan, yang mewakili Jawi dan enam lagi defendan, meminta mahkamah mengenakan kos RM10,000. 

Selain meminta pasangan itu memohon maaf, beliau memberi hujah kes tersebut telah mencemarkan nama baik Jawi setelah ia tersebar meluas di media sosial. 

Namun hakim memutuskan kes itu dibatalkan dengan kos RM3,000 sahaja kerana plaintif berbuat demikian atas alasan kewangan. 

Pada 17 Februari lalu, Mohd Ridhuan mendakwa cedera di leher sewaktu bergelut dengan penguatkuasa ketika mereka memaksa masuk bilik hotel penginapannya.

Sementara isterinya pula mengalami lebam-lebam di tangan akibat bergelut kerana membantah apabila dipaksa berpakaian di depan penguatkuasa lelaki Jawi.

Kumpulan penguatkuasa juga didakwa tidak mengendahkan imej sijil nikah dalam telefon tangan yang membuktikan mereka sah berkahwin.

Pada kejadian 1.30 pagi, anggota-anggota penguatkuasa lelaki didakwa “masuk secara paksa walau sudah dimaklumkan isterinya tidak berpakaian lengkap.”

Anggota penguatkuasa lelaki itu, daripada pasukan lapan orang termasuk seorang wanita, malah mengarahkan isterinya berpakaian lengkap di depan mereka.

“Seorang pegawai lelaki masih terus menangkap gambar dan merakam video pasangan suami isteri tersebut walaupun telah dimaklumkan berkenaan status sah perkahwinan mereka,” kata pasangan itu lagi dalam kenyataan waktu itu.

Baca seterusnya di Malay Mail. 

Lagi Video di MMOTV