projekmmoBerita

SPRM siasat dakwaan pemain badminton terima rasuah

SPRM sedang mengumpul maklumat berhubung dakwaan pemain badminton profesional negara terlibat dalam rasuah mengatur permainan. — Foto oleh Yusof Mat IsaSPRM sedang mengumpul maklumat berhubung dakwaan pemain badminton profesional negara terlibat dalam rasuah mengatur permainan. — Foto oleh Yusof Mat IsaKUALA LUMPUR, 13 Feb — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan menerima laporan dan sedang memastikan kebenaran dakwaan seorang pemain profesional kini dalam siasatan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) kerana dipercayai terlibat mengatur perlawanan.

Timbalan ketua pesuruhjaya (operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki bagaimanapun berkata siasatan masih di peringkat awal.

“SPRM difahamkan BWF sedang melakukan siasatan lanjut berdasarkan maklumat yang baru kami terima. Setakat yang kami tahu, pemain ini juga merupakan pemain profesional dan bukan berada di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

“Oleh yang demikian, SPRM akan menjalankan siasatan lanjut kerana ia berkaitan dengan pengaturan perlawanan yang melibatkan rasuah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Program Sahabat Gerakan Revolusi Anti Rasuah (Gerah) dan pelancaran Kempen Gerakan Memerangi Pemberi Rasuah (Gempur) bersama pihak berkuasa tempatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Menara DBKL di sini.

Menurut laporan sebuah akhbar tempatan hari ini, seorang pemain badminton profesional sedang disiasat oleh BWF kerana disyaki terlibat dengan skandal mengatur perlawanan.

Menurut laporan itu, pemain berusia linkungan 20-an itu telah digantung bulan lalu daripada menyertai sebarang kejohanan sehingga siasatan BWF selesai.

Terdahulu, ketua pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzukifli Ahmad melancarkan kempen Gempur bagi mendidik penjawat awam supaya menolak sebarang bentuk tawaran atau pemberi rasuah.

Kempen berkenaan dilancarkan secara serentak di seluruh negara sempena Gerah siri 2/2018 yang memberi fokus kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam memerangi rasuah.

Melalui pelaksanaan kempen ini, SPRM memberi peringatan kepada penjawat awam agar menolak rasuah dan melaporkan perbuatan tersebut kepada SPRM, pada masa yang sama mendidik orang ramai agar tidak sesekali menawarkan rasuah kepada penjawat awam. 

Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah datuk bandar Kuala Lumpur Tan Sri Mhd Amin Nordin Abd Aziz, timbalan ketua pesuruhjaya (pencegahan), Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil dan timbalan ketua pesuruhjaya (pengurusan dan profesionalisme) Datuk Jaafar Mahad. — Bernama 

Lagi Video di MMOTV