projekmmoBerita

Skandal PKFZ tiada bukti kukuh, semua tertuduh dibebas

Foto lama pintu masuk Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ). Tiada siapa didapati bersalah berhubung skandal ini. — Foto oleh Firdaus Latif Foto lama pintu masuk Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ). Tiada siapa didapati bersalah berhubung skandal ini. — Foto oleh Firdaus Latif SHAH ALAM, 17 Mac — Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan tiga individu, yang dituduh menipu dalam projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), tanpa dipanggil membela diri.

Mereka ialah Law Jenn Dong, 59, bekas pengurus projek Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) iaitu syarikat kontraktor pembinaan PKFZ; arkitek Bernard Tan Seng Swee, 56, dari BTA Architect yang merupakan perunding PKFZ dan Ketua Pegawai Operasi KDSB, Stephen Abok, 59.

Hakim Asmadi Hussin membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kesemua pertuduhan.

Seramai 31 saksi pendakwaan memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Awang Armadajaya Awang Mahmud, Muhammad Anas Mahadzir dan Noor Zalizan Lazarous.

Law diwakili oleh peguam Datuk Tan Hock Chuan, Stephen oleh peguam Hisham Teh Poh Teik, manakala Bernard Tan diwakili peguam Datuk V Sithambaram.

Ketika membuat keputusan, Asmadi berkata apa yang dibuktikan oleh pihak pendakwaan ialah Law, Stephen dan Bernard Tan ada menandatangani notis pembayaran untuk membuat tuntutan bagi kerja-kerja infrastruktur elektrikal untuk projek PKFZ.

Namun, beliau berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan apakah kemudahan sistem elektrikal 33KV yang tidak dibuat oleh KDSB semasa notis pembayaran berkenaan dihantar kepada Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) dan OSK Trustees Bhd bagi tujuan pembayaran.

"Pihak pendakwaan tidak boleh bergantung kepada fakta bahawa TNB (Tenaga Nasional Bhd) tidak membenarkan KDSB membuat kerja-kerja sistem elektrikal 33KV sebagai bukti bahawa KDSB tidak melakukan kerja-kerja tersebut tetapi telah membuat tuntutan.

"Keterangan yang ada di hadapan mahkamah menunjukkan sebahagian besar kerja-kerja infrastruktur bagi sistem elektrik 33KV telah disiapkan dan KDSB dengan bantuan LPK sehingga ke tahun 2009 masih merayu untuk dibenarkan membuat kerja-kerja sistem 33KV secara siap guna," katanya.

Malangnya, tambah Asmadi, usaha-usaha KDSB dan LPK terbantut apabila adanya pertikaian yang membawa kepada tindakan sivil diambil oleh LPK terhadap KDSB dan BTA Architect.

Justeru, beliau berkata setelah membuat penilaian maksimum ke atas kesemua keterangan yang dikemukakan oleh saksi-saksi pendakwaan dan kredibiliti mereka serta kesemua eksibit yang dikemukakan kepada mahkamah, pihaknya mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kesemua pertuduhan.

"Dengan ini, ketiga-tiga tertuduh dibebas dan dilepaskan tanpa dipanggil membela diri terhadap pertuduhan utama dan pertuduhan pilihan," katanya.

Law, Stephen dan Bernard Tan mengaku tidak bersalah pada 8 Nov 2010 atas 24 pertuduhan pilihan menipu OSK Trustees untuk membuat pembayaran berjumlah RM116.85 juta kepada KDSB untuk dua projek di PKFZ di OSK Trustees Bhd, Plaza OSK Ampang antara 30 Jun 2006 sehingga 20 Jun 2008.

Stephen dan Bernard Tan juga mengaku tidak bersalah terhadap dua lagi pertuduhan pilihan menipu OSK Trustees di antara 31 Julai 2007 dan 8 Okt 2008 dengan memperdaya syarikat pemegang amanah itu untuk membayar RM5.42 juta kepada KDSB untuk projek sistem bekalan elektrik ke PKFZ yang tidak dilaksanakan.

Bagi setiap pertuduhan mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda jika disabitkan kesalahan.

Sebelum ini, Stephen dan Bernard Tan mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan asal menipu LPK membabitkan tuntutan RM5.42 juta pada 31 Julai dan 21 Sept 2007.

Bernard Tan dan Law pula menghadapi 24 pertuduhan asal menipu LPK bagi mendapatkan pengesahan pembayaran sebanyak RM116.85 juta kepada KDSB melibatkan dua projek yang sama antara 30 Jun 2006 dan 30 Mei 2008. — Bernama

Lagi Video di MMOTV