projekmmoBerita

Skandal hartanah: Exco Johor dituduh subahat RM30.3 juta

Datuk Abd Latiff Bandi ketika masih dalam proses siasatan SPRM, 16 Mac 2017. ― Foto Bernama Datuk Abd Latiff Bandi ketika masih dalam proses siasatan SPRM, 16 Mac 2017. ― Foto Bernama JOHOR BARU, 19 April ― Exco kerajaan negeri Datuk Abd Latif Bandi, bersama seorang perunding hartanah, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap 33 pertuduhan membabitkan rasuah bernilai RM30.3 juta.

Abd Latif, 51, yang juga pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, bersama Amir Shariffuddin Abd Raub, 44, bagaimanapun tidak mengaku bersalah apabila pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir.

Mengikut kertas pertuduhan, Abd Latif didakwa bersubahat dengan Amir Shariffuddin  untuk menerima rasuah daripada beberapa individu sebagai mendapatkan kelulusan pelepasan sejumlah rumah lot Bumiputera kepada pembeli awam, serta pengurangan bayaran wang sumbangan Tabung Perumahan Negeri Johor bagi Projek Eco Botanic, Pulai.

Amir Shariffuddin pula dituduh menerima rasuah daripada beberapa individu sebagai upah untuk dirinya dan Abd Latif untuk melakukan apa-apa transaksi yang sebenarnya dengan badan awam iaitu mendapatkan kelulusan pelepasan sejumlah rumah lot Bumiputera itu, dan pengurangan bayaran wang sumbangan tabung berkenaan.

Kesemua kesalahan didakwa dilakukan antara 13 Nov 2013 hingga 19 Okt  2016  di Maybank Islamic Bhd,  cawangan Larkin Perdana, di sini.

Kesemua pertuduhan itu  dilakukan di bawah Seksyen 28 (1)(c) Akta SPRM 2009 yang dibacakan bersama Seksyen 16 (a)(B) dan Seksyen 24 akta sama.

Jika disabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang tinggi.

Terdahulu, dalam prosiding hari ini, pihak pendakwa  mencadangkan kepada mahkamah agar kedua-dua tertuduh  ditawarkan jaminan sebanyak RM5 juta setiap seorang  berikutan kes yang disifatkan serius.

Namun, pihak pembelaan menegaskan jaminan yang tinggi tidak munasabah ekoran segala akaun bank dan harta benda milik kedua-dua tertuduh telah dibekukan, sekali gus menyukarkan mereka membayar jaminan.

Mohd Fauzi kemudian menetapkan jaminan  RM2 juta bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah sehingga perbicaraan selesai.

Pendakwaan dijalankan oleh Pengarah Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Masri Mohd Daud dan Timbalan Pendakwa Raya, Amir Nasruddin.

Abd Latif pula diwakili barisan enam  peguam diketuai Datuk Hasnal Rezua Merican manakala Amir Shariffiddin diwakili Asrul Z. Stork.

Mahkamah menetapkan 23 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Abd Latif bercuti daripada portfolionya sejak 1 Mac lalu susulan siasatan SPRM terhadap skandal rasuah hartanah di Johor.

Dia kemudian ditahan sewaktu memberi keterangan berhubung kes itu kepada SPRM di ibu pejabat agensi itu di sini pada 9 Mac.

Selain menahannya, SPRM turut merampas sejumlah barangan termasuk 150 beg berjenama mewah, wang tunai RM41,009 dan sebuah kenderaan merah di rumah tertuduh.

Selain Abd Latif, SPRM turut menahan tujuh lagi individu terdiri daripada anak Abd Latif, seorang pegawai khasnya, seorang orang awam, seorang kontraktor, dua pemaju dan seorang peguam bagi membantu siasatan. ― Bernama

Lagi Video di MMOTV