projekmmoBerita

Siapkan surat letak jawatan, Vingada sedia undur

Vingada (tengah) berkata tujuh perlawanan tanpa kemenangan bukan satu keputusan yang baik dan tidak pernah mengalaminya sebelum ini. ― Foto BernamaVingada (tengah) berkata tujuh perlawanan tanpa kemenangan bukan satu keputusan yang baik dan tidak pernah mengalaminya sebelum ini. ― Foto BernamaKUALA LUMPUR, 15 Nov ― Buntu tidak mencipta kemenangan sejak mengendalikan pasukan Harimau Malaya, Nelo Vingada sedia melepaskan jawatan.

Jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan itu berkata jawatannya rela dipertaruhkan andai itu dapat menyelesaikan kemelut dihadapi Harimau Malaya.

“Kalau pemergian saya dapat menyelesaikan segala masalah yang membelenggu pasukan kebangsaan ketika ini, siapkan surat dan saya boleh tandatangani serta merta.

“Saya mengambil tanggungjawab atas keputusan yang diraih kerana apabila kita tewas, saya yang mengalami kekalahan dan apabila menang, pasukan yang meraih kemenangan.

“Sememangnya tujuh perlawanan tanpa kemenangan bukan satu keputusan yang baik kerana saya tidak pernah mengalaminya sebelum ini.

“Tetapi saya yakin senario ini pasti akan berbeza pada tahun depan,” katanya seperti dilaporkan Utusan Online.

Vingada berkata demikian sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Harimau Malaya masih belum mencipta kemenangan sejak menerima bimbingan Vingada termasuk tewas kepada Korea Utara dalam kelayakan Piala Asia.  

Lagi Video di MMOTV