projekmmoBerita

Separuh rakyat Malaysia obesiti, menteri runsing

Kelaziman obesiti rakyat Malaysia meningkat kepada 17.7 peratus pada 2015, kata Kementerian Kesihatan. — Foto failKelaziman obesiti rakyat Malaysia meningkat kepada 17.7 peratus pada 2015, kata Kementerian Kesihatan. — Foto failSEREMBAN, 3 Jan — Kira-kira 30 juta rakyat Malaysia berdepan masalah kesihatan yang membimbangkan apabila separuh daripada mereka mengalami masalah berat badan berlebihan atau obesiti.

Hasil tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan menunjukkan kelaziman obesiti dalam kalangan dewasa berusia 18 tahun ke atas meningkat secara mendadak.

“Kelaziman obesiti telah meningkat dengan mendadak iaitu daripada 4.4 peratus pada tahun 1996 kepada 14 peratus pada tahun 2006. Kemudian telah meningkat kepada 15.1 peratus pada tahun 2011 dan terus meningkat kepada 17.7 peratus pada 2015.

“Kelaziman berat badan berlebihan dalam kalangan orang dewasa pula sebanyak 30 peratus. Jika dijumlahkan kedua-dua kelaziman ini, hampir separuh rakyat Malaysia berlebihan berat badan atau obes,” kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam dilapor Sinar Online.

Katanya, hasil tinjauan juga menunjukkan pada tahun 2015, hampir separuh orang dewasa di Malaysia mempunyai paras kolesterol yang tinggi iaitu sebanyak 47.7 peratus.

“Kelaziman kencing manis juga menunjukkan peningkatan iaitu 11.6 peratus pada tahun 1996 kepada 15.2 peratus pada tahun 2006 dan terus meningkat kepada 17.5 peratus pada tahun 2015.

“Manakala kelaziman tekanan darah tinggi menunjukkan penurunan iaitu 30.3 peratus pada 2015 berbanding 32.7 peratus pada 2006,” katanya.

Katanya, antara punca adalah ketidakseimbangan antara pengambilan tenaga atau kalori dalam makanan dengan aktiviti fizikal yang dilakukan.

“Sekiranya kalori yang diambil berlebihan atau tidak digunakan untuk melakukan aktiviti fizikal, masalah obesiti akan berlaku.

“Oleh itu, kesedaran tentang pengambilan kalori amat penting supaya masyarakat akan lebih berhati-hati dalam hal pemakanan mereka,” katanya.

Kajian perubatan British, The Lancet pada tahun 2013 mendapati Malaysia mempunyai kadar obesiti paling tinggi di Asia dengan 44 peratus lelaki dan 49 peratus wanita.

Lagi Video di MMOTV