projekmmoBerita

Semua kementerian dapat lima bintang, kata ketua audit

 Tan Sri Dr Ali Hamsa (dua, kiri) menerima buku Laporan Ketua Audit Negara 2016 daripada Tan Sri Dr Madinah Mohamad (kanan) di Jabatan Perkhidmatan Awam hari ini. — Foto Bernama Tan Sri Dr Ali Hamsa (dua, kiri) menerima buku Laporan Ketua Audit Negara 2016 daripada Tan Sri Dr Madinah Mohamad (kanan) di Jabatan Perkhidmatan Awam hari ini. — Foto BernamaPUTRAJAYA, 3 Ogos — Laporan Ketua Audit Negara 2016 Siri 1 merupakan kali pertama kesemua 25 kementerian mendapat penarafan lima bintang, kata Ketua Audit Negara Tan Sri Dr Madinah Mohamad.

“Kesemua kementerian mencapai lima bintang ini bukan satu perkara mudah. Ini boleh dikaitkan dengan ketua setiausaha untuk pastikan kepatuhan,” katanya dalam Sesi Bersama Media Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2016 Siri 1 di sini hari ini.

Pada 2015, katanya, hanya 16 kementerian yang mendapat penarafan lima bintang.

Sembilan kementerian yang tidak mendapat penarafan lima bintang pada 2015 ialah Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan;  Kementerian Luar, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

“Mereka (sembilan kementerian) telah mengambil kira syor-syor daripada Jabatan Audit Negara dan pastikan semua penentuan yang tidak membolehkan mereka mencapai lima bintang  ditambah baik.

“Ini menunjukkan komitmen, kewaspadaan semua ketua setiausaha sebagai pengawal untuk melakukan yang terbaik dan mereka mampu mencapai lima bintang bagi 2016,” katanya.

Dalam memberikan penarafan lima bintang,Jabatan Audit Negara akan melihat dokumen dalaman kementerian bagi memastikan ia sistematik dan mempunyai pengurusan kewangan berkesan yang ditentukan mengikut undang-undang.

“Selain itu, rekod perlu diselenggara dengan baik dan sentiasa dikemas kini,” katanya. — Bernama

Lagi Video di MMOTV