projekmmoBerita

Sembur mata staf MPSJ, lelaki dipenjara lima bulan

Mahkamah memerintahkan lelaki itu dipenjara bermula hari ini dan dipenjara tiga bulan lagi sekiranya gagal membayar denda. — Paparan skrin GoogleMahkamah memerintahkan lelaki itu dipenjara bermula hari ini dan dipenjara tiga bulan lagi sekiranya gagal membayar denda. — Paparan skrin GooglePETALING JAYA, 14 Nov — Gara-gara menyembur cecair pemedih mata ke arah seorang penguatkuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) kerana berang keretanya dikunci dan ditunda, seorang lelaki dipenjara lima bulan dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Majistret Nurulhuda Zakariya menjatuhkan hukuman itu terhadap Leng Wan Kwan, 50, selepas dia mengaku bersalah dengan sengaja menggunakan kekerasan jenayah bagi menghalang penjawat awam iaitu penguat kuasa MPSJ, Norsafuan Nordin, 31, daripada menjalankan tugas.

Leng melakukan perbuatan tersebut di tempat letak kenderaan, di Jalan Puteri 1/4, Bandar Puteri, di sini, pada jam 12.40 tengah hari, 7 November lepas.

Bapa kepada dua anak itu didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah memerintahkan lelaki itu dipenjara bermula hari ini dan dipenjara tiga bulan lagi sekiranya gagal membayar denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Natasya Chin Le Jy memohon hukuman setimpal berbentuk pemenjaraan dengan alasan sejak kebelakangan ini kes-kes sebegini semakin berleluasa.

“Kes ini adalah kes yang serius dan ketika kejadian pengadu mengalami kesukaran untuk bernafas ketika diserang oleh tertuduh,” katanya.

Bagaimanapun, tertuduh, yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman ringan dengan alasan dia kini tidak bekerja kerana baru sahaja menjalani pembedahan mata.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, kereta pengadu telah dikunci dan ditunda oleh penguat kuasa kerana meletakkan kenderaan di tempat yang salah.

Tertuduh, yang berang dengan tindakan tersebut, bertindak menyembur mata mangsa dengan menggunakan cecair pemedih mata yang menyebabkan pengadu mengalami kesukaran bernafas dan pedih mata. — Bernama

Lagi Video di MMOTV