projekmmoBerita

Sambungan haram, Syabas rugi RM2 juta kes curi air

Anggota Syabas mengambil sampel air sambungan bekalan secara haram di sebuah tapak pembinaan di Cheras, 25 Januari 2018.  — Foto BernamaAnggota Syabas mengambil sampel air sambungan bekalan secara haram di sebuah tapak pembinaan di Cheras, 25 Januari 2018. — Foto BernamaKUALA LUMPUR, 25 Jan — Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) mengalami kerugian lebih RM2 juta tahun lepas akibat kes curi air, kata pengurus besar Jabatan Komunikasi Korporatnya Siti Zubaidah Zakaria.

Beliau berkata sejak 1 Jan 2017 sehingga 25 Jan 2018, Syabas menerima 5,631 aduan dan mendapati 110 kes daripada jumlah itu melibatkan penyambungan bekalan air secara haram.

Katanya anggaran tuntutan ganti rugi keseluruhan yang dituntut Syabas berhubung kesalahan kegiatan itu sepanjang tempoh tersebut kini telah mencecah RM2.5 juta.

“Perkara ini adalah serius, sebab ia melibatkan air tidak berhasil dan kami dapati daripada 110 kes, kira-kira 51 peratus membabitkan tapak pembangunan.

“Kita mengalu-alukan orang awam atau pengguna untuk turut bersama membantu menyalurkan maklumat kepada kami untuk membanteras jenayah ini,” katanya kepada Bernama selepas turut sama menyertai operasi ke atas sebuah tapak projek pembinaan di Jalan Cheras di sini hari ini.

Dalam operasi dengan kerjasama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) di tapak projek  pembinaan itu, pemeriksaan lanjut telah menemui satu sambungan bekalan air secara terus dari paip utama untuk kegunaan harian di tapak pembinaan itu.

Katanya, berikutan serbuan itu, Syabas menganggarkan kerugian air terawat yang telah digunakan secara tidak sah di tapak pembinaan itu berjumlah RM277,433.

Pihaknya turut melaksanakan ujian klorin di saluran paip sambungan itu dan didapati air tersebut bertukar merah yang menandakan ia merupakan bekalan air terawat dari Syabas.

“Notis pemberitahuan kesalahan dan tindakan penguatkuasaan telah dikeluarkan oleh Air Selangor untuk tuntutan ganti rugi kehilangan air yang digunakan secara tidak sah,” katanya.

Sementara itu, pengarah Unit Komunikasi Korporat SPAN Mohd Fazil Ismail yang turut sama dalam  operasi itu berkata kesalahan akan disiasat di bawah peruntukan Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) dan jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali. — Bernama

Lagi Video di MMOTV