projekmmoBerita

Sabah hampir sasaran 90 peratus guru tempatan

Mahdzir berkata Kementerian Pendidikan merekodkan 87.4 peratus jawatan guru di Sabah ketika ini diisi oleh anak tempatan. — Foto oleh Saw Siow FengMahdzir berkata Kementerian Pendidikan merekodkan 87.4 peratus jawatan guru di Sabah ketika ini diisi oleh anak tempatan. — Foto oleh Saw Siow Feng

KOTA MARUDU, 20 Jan — Kira-kira 2.6 peratus sahaja lagi bagi merealisasikan Dasar 90:10 di Sabah, iaitu sasaran memastikan 90 peratus jawatan guru diisi oleh anak tempatan manakala 10 peratus lagi oleh guru daripada luar mengajar di negeri itu.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata Kementerian Pendidikan telah  merekodkan sejumlah 87.4 peratus jawatan guru di Sabah ketika ini telah diisi oleh anak tempatan di negeri itu.

Dasar 90:10 diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 2015 bertujuan memastikan 90 peratus guru di Sabah dan Sarawak diisi oleh anak tempatan negeri berkenaan pada 2018.

Mahdzir juga berkata komitmen perdana menteri untuk memastikan anak Sabah berpeluang memegang jawatan kanan di peringkat persekutuan dibuktikan menerusi pelantikan Datuk Dr Amin Senin sebagai ketua pengarah pelajaran baharu bagi menggantikan Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof pada Oktober tahun lepas.

“Ini adalah pertama kali orang Sabah (dilantik) menjadi ketua pengarah pelajaran,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandau di sini, semalam.

Turut hadir pada majlis yang dirasmikan Najib itu ialah Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman, dua Timbalan Ketua Menteri iaitu Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Datuk Seri Yahya Hussin dan Pengarah Pendidikan Sabah Datuk Maimunah Suhaibul.

Berhubung SMK Bandau, Mahdzir berkata sekolah itu yang sebelum ini menumpang di bangunan Sekolah Kebangsaan Ongkilan dibina dengan kos RM34 juta demi kemudahan pelajar.

Katanya meskipun baharu sahaja memiliki bangunan sendiri, namun sekolah yang mempunyai lebih 1,000 pelajar Tingkatan Satu hingga Lima itu telah menunjukkan prestasi serta pencapaian terbaik sama ada dari segi akademik mahupun kokurikulum dan sukan.

“Sekolah ini juga termasuk dalam program Sekolah Transformasi Pendidikan Negara, dan tahun ini, adalah tahun kedua sekolah ini dalam program tersebut,” katanya.

Katanya Najib juga begitu prihatin terhadap aspek pembangunan modal insan di Sabah apabila dalam Rancangan Malaysia Ke-11, sejumlah RM3.1 bilion diperuntukkan bagi pembangunan pendidikan di negeri itu.

Bukan itu sahaja, Mahdzir berkata, perdana menteri turut memperuntukkan sejumlah RM1 bilion bagi membaiki sekolah-sekolah daif di negeri itu dalam Bajet 2018.

Sabah mempunyai 1,291 buah sekolah terdiri daripada sekolah rendah dan menengah dengan kira-kira 40,000 guru. — Bernama

Lagi Video di MMOTV