projekmmoBerita

Rugi RM3 bilion, 500,000 mangsa melabur haram

Polis menahan pengasas JJPTR Johnson Lee (tengah, baju kelabu) dan dua pembantu kanannya pada 16 Mei 2017. Polis menahan pengasas JJPTR Johnson Lee (tengah, baju kelabu) dan dua pembantu kanannya pada 16 Mei 2017. KUALA LUMPUR, 7 Ogos — Lebih 500,000 individu dilaporkan menjadi mangsa penipuan pelbagai pelaburan haram di negara ini melibatkan kerugian mencecah RM3 bilion sejak tahun lepas hingga Julai 2017.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk A. Thaiveegan berkata sindiket itu kerap memperdayakan mangsa dengan menawarkan pulangan yang tinggi bagi mencari dan menarik minat orang ramai.

“Kerap kali kami menasihatkan masyarakat supaya berhati-hati dengan sebarang pelaburan.

“Buat semakan dengan Bank Negara dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) terlebih dahulu sebelum terlibat dengan mana-mana pelaburan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menerusi tangkapan terbaru melibatkan pelaburan haram, beliau berkata dua beranak antara tiga individu yang ditahan kerana dipercayai terlibat dengan penipuan skim pelaburan pertukaran mata wang asing (Forex) melibatkan kerugian RM39.60 juta di Pahang dan Kelantan Selasa lepas.

Beliau berkata pihaknya telah menerima sebanyak 114 laporan berhubung skim pelaburan itu dan telah membuka 20 kertas siasatan.

Dalam perkembangan lain, Thaiveegan berkata polis menumpaskan empat sindiket pemberi pinjam wang haram atau along selepas menahan 29 individu termasuk dua wanita di empat negeri dalam operasi yang dijalankan pada 30 Julai hingga Khamis lepas.

Menurutnya, tangkapan dilakukan di Kuala Lumpur, Selangor, Kedah dan Johor melibatkan dalang, pemberi dan pengutip wang haram itu.

Katanya, kesemua ahli sindiket berusia 18 hingga 48 tahun dan tangkapan dibuat susulan kira-kira 30 laporan polis yang diterima melibatkan pinjaman sebanyak RM575,950.

Menurutnya, empat sindiket berkenaan dipercayai  bergerak aktif di beberapa negeri antaranya Johor, Melaka dan Negeri Sembilan serta menggunakan kekerasan seperti membaling cat dan membuat ugutan dengan menggunakan bahasa lucah sekiranya mangsa lewat membayar pinjaman pada waktu yang ditetapkan. 

Pelbagai barang turut dirampas antaranya 68 unit telefon bimbit pelbagai jenis, 51 kad ATM, komputer riba, buku bank, 153 keping cek dan 13 kereta pelbagai jenis, katanya.

Thaiveegan berkata sejak tahun lepas sehingga Julai 2017 terdapat 2,273 kes melibatkan along dilaporkan di seluruh negara melibatkan nilai pinjaman lebih RM68.8 juta. — Bernama 

Lagi Video di MMOTV