projekmmoBerita

Putera tidak dendam, janji tidak siar wajah ibu bapa

Putera Zainuddin, 21, ketika ditemubual stesen radio tempatan pada 18 Oktober 2017. — Foto ihsan Instagram/pudsputPutera Zainuddin, 21, ketika ditemubual stesen radio tempatan pada 18 Oktober 2017. — Foto ihsan Instagram/pudsputKUALA LUMPUR, 24 Okt — Ditinggalkan di sebuah perhentian bas di Kuantan, Pahang ketika hanya berusia kira-kira 10 hari, namun peristiwa 21 tahun yang lalu itu tidak menyebabkan sekelumit pun perasaan dendam di hati Mohamad Putera Zainuddin.

Kisah anak muda itu yang mahu mencari ibu bapanya kandungnya menjadi tular di media sosial baru-baru ini.

“Saya amat merindui mereka (ibu bapa) walaupun tidak pernah bersua muka. Naluri saya kuat mengatakan kedua ibu bapa saya masih hidup lagi. Kalau mereka ada melihat video ini, saya harap hubungilah saya.

“Sekiranya saya telah menemui mereka, saya janji tidak akan memaparkan wajah mereka kepada media, cuma akan beritahu saya telah menemui mereka,” demikian antara luahan Mohamad Putera kepada Bernama.

 

 

Beliau ditemui selepas menjadi tetamu undangan bagi program Nine11 terbitan Bernama News Channel (BNC) di Wisma Bernama di sini semalam.

Mesra dengan panggilan ‘Ra’, Mohamad Putera berkata beliau mengetahui statusnya sebagai anak angkat kepada pasangan suami isteri Zainuddin Ahmad, 56, dan Saodah Mahmood, 59, ketika berusia enam tahun namun pada usia semuda itu, beliau masih tidak memahami perkara yang sebenar.

Namun, ketika usianya mula meningkat  remaja hasrat untuk mencari keluarga kandungnya itu semakin kuat walaupun kasih sayang daripada keluarga angkatnya tidak pernah berbelah bahagi untuknya.

Mohamad Putera percaya ibu bapanya mempunyai alasan lain sehingga meninggalkannya di dalam sebuah kotak di perhentian bas  di Kampung Megat, Jalan Maran, dekat Tasik Paya Bungor, Kuantan pada 23 Sept 1996 sebelum  ditemui kira-kira pukul 7 pagi, dan beliau hanya ingin bersua muka dengan keluarga kandungnya itu.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Sri Amar Diraja, Johor itu kini  menyambung pengajian Diploma Pembantu Perubatan di sebuah kolej di Seremban, Negeri Sembilan. — Bernama

Lagi Video di MMOTV