projekmmoBerita

Pulau Pinang dilanda banjir, tanah runtuh

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Mak Mandin di Butterworth mengharungi banjir yang melanda sekolah mereka hari ini. — Foto BernamaPelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Mak Mandin di Butterworth mengharungi banjir yang melanda sekolah mereka hari ini. — Foto BernamaGEORGE TOWN, 5 Jan — Hujan lebat sejak tengah malam tadi menyebabkan banjir kilat di 50 kawasan di negeri ini serta tanah runtuh di Ladang Lada, Tanjung Bungah, mengakibatkan empat orang dipindahkan akibat tanah runtuh dan 52 orang lagi akibat banjir.

Antara kawasan yang dinaiki air ialah Taman Mutiara, Kampung Padang Lalang, Kampung Permatang Rawa, Jalan Tembikai, Taman Makok, Taman Cantek, Taman Siakap, Taman Usaha, Taman Amra dan Jalan Bagan Lalang di daerah Seberang Perai Tengah (SPT).

Kawasan Seberang Perai Utara (SPU) pula ialah Mak Mandin, Jalan Raja Uda, Butterworth, Taman Sungai Rambai, Taman Bunga Raya dan Taman Senangin manakala di bahagian pulau ialah Kampung Makam, Lebuh Kimberley, Lorong Baru, Lebuh Cecil, Jalan Sungai Ujong, Jalan Magazine dan Lebuh Cintra di daerah Timur Laut serta Teluk Kumbar, Sungai Batu dan Sungai Ara di Barat Daya.

Sementara itu, dua keluarga di Ladang Lada, Tanjung Bungah di sini, diarah berpindah ke pusat  pemindahan sementara ekoran kejadian tanah runtuh yang berlaku di belakang rumah mereka.

Mereka yang terdiri daripada masing-masing dua lelaki dan dua wanita itu diarah berpindah apabila pihak berkuasa khuatir berlaku runtuhan susulan di kawasan itu.

“Kesemua mereka telah berpindah ke pusat pemindahan sementara Dewan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Ladang Lada di situ,” kata Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pulau Pinang Kapten Veer Sheger di sini hari ini.

Pemilik sebuah rumah yang terlibat Juliana Joseph, 65, berkata kejadian itu hanya disedari selepas terdengar bunyi dentuman kuat di bahagian dapur, kira-kira pukul 4.30 pagi tadi sebelum melaporkan kepada pihak berkuasa tempatan.

“Saya fikir sesuatu berlaku di rumah jiran, tetapi tiada apa-apa terjadi selepas meneliti keadaan di kediaman mereka. Saya kemudian memeriksa bahagian dapur dan ternampak kawasan bukit sudah runtuh dengan semua pasu di halaman musnah,” katanya.

Dalam pada itu, sejumlah 52 orang daripada 17 keluarga dipindahkan ke pusat penempatan sementara  apabila kediaman mereka dinaiki air setinggi antara 1.5 hingga dua meter (m) ekoran hujan lebat sejak malam  semalam.

Mereka ialah 24 penduduk daripada lapan keluarga di ladang Hong Seng yang dipindahkan ke Balai Raya Ladang Hong Seng di Tanjung Bungah dan 28 orang daripada sembilan keluarga dari daerah SPU.

Ketua Polis Daerah SPU ACP Noorzainy Mohd Noor berkata kesemua 28 orang dari daerah itu kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara dewan Masjid Al Taqwa di Mak Mandin selepas rumah mereka dinaiki air hingga paras 1.5m.

“Sehingga pukul 5.30 petang keadaan banjir di kawasan terlibat antaranya Mak Mandin, Flat Rumah Hijau, Kampung Malaysia dan Taman Sukaria dalam keadaan terkawal namun mangsa yang dipindahkan belum dibenarkan pulang,” katanya.

Noorzainy berkata dua buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Mak Mandin dan Sekolah Menengah Kebangsaan Mak Mandin serta Klinik Kesihatan Mak Mandin ditutup selepas air naik hingga paras satu meter.

Di daerah SPT, sebuah pusat pemindahan di Sekolah Agama Nahdatul Islah di Kubang Semang ditutup sepenuhnya pada 4 petang tadi apabila lima orang daripada sebuah keluarga yang ditempatkan di pusat itu dibenarkan pulang. — Bernama

Lagi Video di MMOTV