projekmmoBerita

PM dedah peniaga jana RM2,000 sehari dengan RM70

Sharifah merupakan salah seorang penerima bantuan daripada  inisiatif kerajaan BN yang meningkatkan hidup dan sosioekonomi rakyat. ― Paparan skrin NajibRazak.comSharifah merupakan salah seorang penerima bantuan daripada inisiatif kerajaan BN yang meningkatkan hidup dan sosioekonomi rakyat. ― Paparan skrin NajibRazak.comKUALA LUMPUR, 13 Jan ― Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam berkongsi mengenai kisah seorang wanita yang berjaya dalam perniagaannya selepas mendapat bantuan daripada kerajaan.

Wanita berkenaan, Sharifah Dun hilang punca pendapatan apabila suaminya hilang pekerjaan di kilang ketika kegawatan ekonomi sehingga rumah mereka dilelong dan keretanya ditarik.

“Tetapi saya tidak mengalah, dengan hanya ada RM70 dalam poket, bantuan beras dan makanan dari Baitulmal, saya guna sebagai modal berniaga kecil-kecilan nasi lemak di stesen LRT Wangsa Maju.

“Dua bulan saya kumpul duit sedikit demi sedikit, cukuplah untuk sewa tapak berniaga di kaki lima sebuah restoran di Kuala Lumpur. Kemudian saya mohon bantuan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional) dan 1Azam.

“Dari situ dapatlah saya sewa kedai, beli peralatan dapur dan menggaji pekerja,” kata wanita itu dan ia dikongsi oleh Najib dalam blog rasminya www.najibrazak.com, malam tadi

Sharifah berkata hasil bantuan dan penat lelahnya kini menjadikan beliau memperolehi pendapatan harian antara RM1,000 hingga RM2,000.

Najib berkata wanita itu juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang prihatin dan sentiasa mencari jalan membantu rakyat meningkatkan taraf hidup mereka.

Sharifah merupakan salah seorang yang menerima bantuan daripada  inisiatif kerajaan Barisan Nasional yang meningkatkan hidup dan sosioekonomi rakyat pelbagai latar belakang.

Najib berkata secara keseluruhan, lebih daripada 100,000 peserta 1AZAM  berjaya meningkatkan pendapatan.

Katanya, 2.26 juta pekerjaan baharu turut diwujudkan sejak 2010. Pendapatan bulanan sebanyak 98 peratus bagi golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) juga meningkat.

1AZAM yang merangkumi lima program utama iaitu Azam Tani, Azam Niaga, Azam Khidmat, Azam Kerja dan Azam Bandar dilaksanakan bagi menjana dan meningkatkan pendapatan golongan yang tersenarai dalam sistem e-Kasih. ― Bernama

Lagi Video di MMOTV