projekmmoBerita

PhD palsu: Sahkan sebelum mohon program akademik

Pemohon sijil akademik perlu mendapatkan pengesahan daripada institusi yang menawarkan sijil berkenaan jika ragu-ragu dengan program yang ditawarkan. — Foto oleh Choo Choy MayPemohon sijil akademik perlu mendapatkan pengesahan daripada institusi yang menawarkan sijil berkenaan jika ragu-ragu dengan program yang ditawarkan. — Foto oleh Choo Choy MayKUALA NERUS, 2 Feb ― Pihak yang ingin memohon sijil akademik menerusi program pengajian daripada mana-mana institusi pengajian diminta berhati-hati bagi mengelak ditipu.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Malaysia, Datin Paduka Dr Siti Hamisah Tapsir berkata mereka perlu mendapatkan pengesahan terus daripada institusi yang menawarkan sijil berkenaan jika ragu-ragu dengan program yang ditawarkan.

“Bagi institusi di Malaysia, orang ramai boleh menyemak di Jabatan Pengajian Tinggi atau Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) tetapi sekiranya membabitkan pusat pendidikan di luar negara, cara terbaik ialah menghubungi pihak berkuasa negara berkenaan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Persidangan Antarabangsa Pengajaran dan Pembelajaran Pengajian Tinggi (ICTLHE) 2017 di Perpustakan Sultanah Nur Zahirah, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dekat sini, semalam.

Turut hadir ialah Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Dr. Mahadzirah Mohamad serta Ketua Pegawai Eksekutif Open Learning Global (OLG) Pty Ltd, Adam Brimo.

Siti Hamisah mengulas laporan Utusan Malaysia kelmarin yang mendedahkan terdapat sindiket yang menawarkan ijazah dalam pelbagai peringkat termasuk PhD dalam tempoh 24 jam selepas bayaran antara RM11,000 hingga RM15,000 dibuat.

Terdahulu, Siti Hamisah merasmikan Studio e-Pembelajaran UMT yang dilengkapi kemudahan teknologi realiti tambahan (AR) bagi pembangunan penyediaan kursus-kursus pembelajaran dalam talian atau Massive Open Online Courses (MOOC) di UMT, di bawah jenama UMTMOOCs.

Kemudahan terbaharu itu menjadikan imej kelihatan hidup kerana video utama bagi setiap kursus UMTMOOC dapat dimainkan secara terus dengan aplikasi UMTMOOC-AR yang dimuat turun melalui aplikasi Google Play ke mana-mana peranti mudah alih.

Siti Hamisah juga berkata, sehingga kini sebanyak 350,000 pelajar di seluruh negara telah mendaftar untuk mengikuti MOOC membabitkan keseluruhan 223 program. ― Bernama

Lagi Video di MMOTV