projekmmoBerita

Pesta juadah Jerman dibenarkan jika patuhi syarat, kata Azmin

Pesta 'Centro German F&B Party' yang turut menyediakan minuman keras atau arak dijadualkan berlangsung pada 12 dan 13 Okt ini di Klang. — Foto ReutersPesta 'Centro German F&B Party' yang turut menyediakan minuman keras atau arak dijadualkan berlangsung pada 12 dan 13 Okt ini di Klang. — Foto ReutersSHAH ALAM, 4 Okt — Penganjuran pesta makanan dan minuman Jerman termasuk arak yang dijadual berlangsung di sebuah pasar raya di Klang minggu depan boleh dibenarkan asalkan telah menepati syarat dan peraturan yang ditetapkan, kata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata sebelum ini pihaknya membenarkan program yang sama dijalankan kerana penganjur telah memenuhi syarat dan peraturan ditetapkan termasuk yang digariskan oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK).

“Kita dah bagi approval awal lagi…bukan sahaja tahun ini tetapi tahun-tahun sebelumnya juga. Namun, approval itu diberi apabila penganjur mematuhi semua syarat dan peraturan yang telah ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran Wanita Berdaya Saing (IWB) dan Dasar Wanita Selangor di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai penganjuran pesta yang dinamakan ‘Centro German F&B Party’, yang turut menyediakan minuman keras atau arak, dijadualkan berlangsung pada 12 dan 13 Okt ini.

Pada Isnin lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pihaknya kekal dengan pendirian untuk tidak membenarkan penganjuran pesta itu ekoran wujud ancaman militan berkaitan  acara berkenaan.

Mohamad Fuzi berkata pihaknya pada masa sama turut menasihatkan MPK untuk tidak membenarkan penganjuran acara itu berlangsung di kawasan di bawah penyeliaannya.

Yang Dipertua MPK Datuk Mohamad Yasid Bidin pula mengakui  pihaknya menangguhkan kelulusan  permit sementara penganjuran pesta itu berikutan kegagalan penganjur mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Mohamad Yasid berkata antara syarat utama kelulusan pengeluaran permit tersebut ialah pihak penganjur perlu mendapat pengesahan dan kebenaran daripada pihak polis.—Bernama

Lagi Video di MMOTV