projekmmoBerita

Pertumbuhan lima peratus KDNK tahun depan

Sebuah persatuan penyelidikan perniagaan bebas menjangka Malaysia mencatat pertumbuhan KDNK lima peratus pada 2018. ― Foto Malay MailSebuah persatuan penyelidikan perniagaan bebas menjangka Malaysia mencatat pertumbuhan KDNK lima peratus pada 2018. ― Foto Malay MailNEW YORK, 14 Nov — Conference Board, sebuah persatuan penyelidikan perniagaan bebas yang berpusat di New York, mengunjurkan Malaysia akan mencatat pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) lima peratus pada 2018, rendah sedikit berbanding 5.5 peratus pada 2017.

Dalam Tinjauan Ekonomi Global terkini 2018 yang dikeluarkan pada Isnin, ia berkata Malaysia bukan satu-satunya negara ASEAN yang menghadapi penurunan memandangkan pertumbuhan KDNK Thailand juga dijangka merosot kepada tiga peratus pada 2018 berbanding 3.8 peratus pada 2017.

Laporan itu menyebut kelembapan ekonomi Malaysia disebabkan faktor penurunan harga minyak dan harga komoditi lain, yang dijangkakan tidak akan meningkat melepasi paras semasa pada tahun depan.

Namun, momentum ekonomi global secara keseluruhannya dijangkakan terus mencatat kadar pertumbuhan global pada tiga peratus pada  2018.

“Pertumbuhan global akhirnya meninggalkan paras terendah sejak krisis ekonomi dan kewangan global, dan pertumbuhan KDNK, yang kami unjurkan berkembang pada kadar 2.8 peratus tahun lepas, mungkin mencatatkan kira-kira tiga peratus untuk 2017 hingga  2018,” kata Ketua Ekonomi Board Conference, Bart van Ark.

Walaupun pertumbuhan pasaran matang akan kekal kukuh dalam jangka pendek, potensi pemecutan pertumbuhan adalah terhad, dan kelembapan pertumbuhan mungkin berlaku pada akhir dekad ini.

“Memandangkan beberapa pasaran pesat membangun semakin matang, terutama China, mereka tidak mungkin akan kembali kepada trend pertumbuhan masa lepas.

“Berita baiknya ialah faktor pertumbuhan kualitatif, seperti peningkatan kemahiran tenaga kerja, pendigitan, dan peningkatan produktiviti yang lebih kukuh, boleh membantu mengekalkan pertumbuhan dan menyediakan kedudukan yang lebih baik untuk perniagaan berkembang maju dalam dekad yang akan datang,” katanya.

Conference Board berkata momentum pertumbuhan ekonomi matang telah meningkat pada 2017, dan diunjurkan meningkat 2.1 peratus pada 2018 berbanding 2.2 peratus pada 2017.

Ia berkata ekonomi Amerika Syarikat (AS) akan memperoleh manfaat apabila membawa kadar pertumbuhan pelaburan yang lebih kukuh ke tahun depan, manakala beberapa ekonomi Eropah mungkin melihat beberapa kelemahan ekoran kitaran, dan kembali kepada trend pertumbuhan jangka sederhana mereka pada pertengahan 2018.

Sementara itu, ia mengunjurkan pasaran pesat membangun akan berkembang 3.8 peratus berbanding 3.7 peratus pada 2017, dan menambah  perbezaan ketara akan dicatat di seluruh negara.

China mempunyai pertumbuhan yang agak kukuh pada 2017 berikutan peningkatan semula eksport dan sokongan kerajaan yang mencukupi untuk ekonomi menjelang Kongres Parti pada Oktober, namun akan meneruskan penurunan kecil yang berpanjangan pada 2018.

Conference Board juga memberi amaran mengenai risiko semasa kekuatan ekonomi global, walaupun penstabilan harga tenaga dan komoditi, keyakinan perniagaan yang lebih baik, pemulihan kitaran di Eropah, dan rangsangan pertumbuhan berasaskan dasar China.

Contohnya, pemulihan yang lemah dalam pelaburan mungkin mengehadkan kepesatan teknologi yang boleh diterjemahkan ke dalam pertumbuhan produktiviti, manakala pertumbuhan lemah dalam penggunaan mungkin berlaku di beberapa negara, memandangkan pertumbuhan gaji sebenar kekal perlahan, walaupun pasaran buruh semakin ketat.

Ia berkata dasar dan risiko geopolitik (Brexit, dasar AS, krisis pelarian, kegaasan, bencana alam) boleh menjejaskan trend pertumbuhan ekonomi.

Pemecutan perlindungan atau perang perdagangan antara AS dan China, dan peningkatan risiko konflik politik atau tentera di bahagian lain di dunia, adalah risiko lain yang mengancam kestabilan dan trajektori pertumbuhan.

Namun menurut Conference Board, beberapa kuasa boleh membantu mengukuhkan kualiti pertumbuhan dan menjadikannya lebih mampan dalam dekad akan datang.

Kekurangan tenaga kerja, boleh membantu mendorong pertumbuhan pelaburan yang lebih cepat, terutama dalam sektor yang mempunyai permintaan yang tinggi untuk bakat yang tidak ramai dimiliki.

“Peningkatan modal ini merupakan sumber pertumbuhan produktiviti buruh, terutama untuk Eropah, Amerika Syarikat dan ekonomi matang yang lain,” katanya.

Conference Board berkata laluan pertumbuhan China perlahan dan trendnya akan berterusan pada tahun 2018 dengan unjuran pertumbuhan 3.9 peratus berbanding 4.2 peratus pada 2017.

Sementara itu, ia berkata Jepun akan tumbuh satu peratus (1.5 peratus pada  2017). India akan meneruskan trajektori pertumbuhannya dengan pertumbuhan 6.5 peratus pada 2018, meningkat daripada 6.2 peratus pada 2017, manakala Vietnam akan berkembang pada enam peratus pada 2018, meningkat daripada lima peratus pada tahun 2017. — Bernama

Lagi Video di MMOTV