projekmmoBerita

Peragut kemalangan, ditahan guna motosikal curi

Polis merampas sembilan beg tangan pelbagai jenama, empat dompet, pelbagai mata wang, pelbagai pasport, tiga telefon bimbit, seutas rantai, dua gelang tangan dan pelbagai permit kerja. — Foto ihsan Facebook/Tawkey FaraPolis merampas sembilan beg tangan pelbagai jenama, empat dompet, pelbagai mata wang, pelbagai pasport, tiga telefon bimbit, seutas rantai, dua gelang tangan dan pelbagai permit kerja. — Foto ihsan Facebook/Tawkey FaraJOHOR BARU, 18 Mei — Polis percaya telah berjaya menyelesaikan tujuh kes ragut di sekitar bandar raya ini semalam berikutan penahanan dua lelaki bermotosikal berhampiran Susur 6, Jalan Tun Razak, di sini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Sulaiman Salleh berkata kedua-dua mereka ditahan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) polis dengan bantuan orang awam selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta.

Beliau berkata sebelum itu, anggota Unit MPV Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan menerima maklumat mengenai kejadian ragut di Jalan Lingkaran Dalam dan Jalan Yahya Al-Datar, di sini, kira-kira 11 pagi.

“Semasa membuat rondaan untuk mengesan suspek yang terlibat, anggota Unit MPV melihat satu kemalangan berhampiran Susur 6, Jalan Tun Razak yang melibatkan sebuah motosikal jenis Kawasaki 650cc dengan sebuah kereta jenis Toyota Vios,” katanya menerusi kenyataan di sini malam tadi.

Sulaiman berkata semasa anggota Unit MPV memberi bantuan, orang awam memaklumkan bahawa penunggang dan pembonceng motosikal tersebut telah meragut seorang daripada orang awam yang berada di tempat kejadian.

Beliau berkata hasil penahanan kedua-dua lelaki berumur 25 dan 32 tahun itu, polis merampas sembilan beg tangan pelbagai jenama, empat dompet, pelbagai mata wang, pelbagai pasport, tiga telefon bimbit, seutas rantai, dua gelang tangan dan pelbagai permit kerja.

Katanya semakan mendapati motosikal berwarna merah hitam berkenaan merupakan kenderaan yang dilaporkan hilang di Larkin, di sini pada Jun, dua tahun lepas.

Menurut Sulaiman, seorang daripada lelaki itu memiliki rekod lampau dan masih dikehendaki bersabit kejadian samun di Gelang Patah, di sini.

“Dengan tertangkapnya mereka, kita percaya dapat menyelesaikan tujuh kes ragut di sekitar bandar raya pada hari ini.

“Polis juga percaya berjaya menyelesaikan beberapa kes ragut di sekitar kawasan Iskandar Malaysia dengan penahanan mereka,” katanya. — Bernama

Lagi Video di MMOTV