projekmmoBerita

Penjara empat bulan, siar kartun dan kata aibkan Najib

Seorang operator kilang mengaku bersalah memuat naik lukisan kartun dan perkataan mengaibkan perdana menteri, bulan lepas. ― Foto oleh Yusof Mat IsaSeorang operator kilang mengaku bersalah memuat naik lukisan kartun dan perkataan mengaibkan perdana menteri, bulan lepas. ― Foto oleh Yusof Mat IsaPETALING JAYA, 17 Nov ― Seorang operator kilang dipenjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas dia mengaku bersalah memuat naik lukisan kartun dan perkataan yang mengaibkan Perdana Menteri, bulan lepas.

Majistret Mohd Azali Ibrahim menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Hamizan Ghazali, 24, dan memerintahkan dia menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh ditangkap pada 12 Nov lepas.

Mohamad Hamizan didakwa menggunakan profil “Ieyzan Ghazali”di laman sosial Facebook dan memuat naik gambar lukisan kartun bersifat jelik yang tertera perkataan mengaibkan Perdana Menteri.

Dia melakukan kesalahan itu di Jalan Melati 2, Taman Paya Rumput Perdana, Melaka Tengah, Melaka, di antara 12.01 pagi pada 20 Okt dan 5.30 petang 22 Okt lepas.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a)(ii) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntuk hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu dikenakan hukuman ringan dengan alasan dia sudah direman selama lima hari.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran supaya tertuduh tidak mengulangi kesalahan itu yang kini menjadi trend pengguna media sosial.

“Tertuduh tidak sepatutnya melanggar undang-undang jika ingin menyuarakan pendapat kerana ia bertentangan dengan rukun negara.

"Tindakannya memuat naik gambar jelik adalah tindakan yang silap serta tidak menghormati pemimpin negara,” katanya.

Mengikut fakta kes, pengadu merupakan anggota “Friends of UMNO” telah membuat laporan polis berhubung tindakan tertuduh yang memuat naik gambar jelik itu di laman sosial Facebook. ― Bernama

Lagi Video di MMOTV