projekmmoBerita

Pengarah dakwa Farid bawa pistol, tengking kru drama

Datuk Farid Kamil ketika dibawa ke mahkamah Petaling Jaya untuk perintah tahanan reman, 12 Jan 2018. — Foto oleh Hari AnggaraDatuk Farid Kamil ketika dibawa ke mahkamah Petaling Jaya untuk perintah tahanan reman, 12 Jan 2018. — Foto oleh Hari AnggaraKUALA LUMPUR, 14 Jan ― Pengarah drama Uniknya Cinta mendakwa Datuk Farid Kamil Zahari membawa sepucuk pistol ke lokasi penggambaran.

Shuhaimi Lua Abdullah berkata beliau “ternampak” senjata api di pinggang pelakon itu ketika suasana kelam kabut semasa insiden aktor Ridzuan Hashim ditampar.

Katanya Farid, 37, tidak membintangi drama itu, tetapi mungkin hadir ke lokasi kerana studio itu milik pelakon Sofi Jikan, lapor Mingguan Malaysia.

“Saya melihat dia membawa pistol yang berada di pinggang. Tapi tak tahu keaslian pistol itu,” katanya.

“Memang keadaan dia [Farid] tidak terurus, malah dia tidak memakai selipar. Ekoran itu, penggambaran terpaksa berhenti seketika.”

Laporan itu juga menyebut Shuhaimi mendakwa Farid menengking jurukameranya beberapa kali, kemudian dia memaklumkan hanya “bergurau” sebelum beredar.

Beliau mengakui tamparan Farid sangat kuat kerana muka pelakon senior itu menjadi merah.

Kosmo! hari ini melaporkan presiden Persatuan Seniman Malaysia mengesahkan Farid tidak termasuk dalam senarai 300 artis yang berhutang dengan ‘ah long’.

“Semakan mendapati Farid Kamil bukan salah seorang daripada mereka,” kata Zed Zaidi, yang enggan mendedahkan nama artis lain atas faktor keselamatan.

Sementara Diana Danielle, 27, di Instagram menegaskan dirinya tidak pernah dikasari sepanjang perkahwinannya sejak 2012.

“Suami saya tidak pernah walaupun sekali mengasari saya secara fizikal,” katanya yang memberi sokongan penuh kepada Farid.

Pelakon Pinjamkan Hatiku pada Jumaat lalu direman empat hari bagi membantu siasatan atas beberapa kesalahan, termasuk menampar polis dan menggunakan dadah.

Pengarah filem V3: Samseng Jalanan itu disiasat bawah Seksyen 323 dan 353 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis, dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya.

Lagi Video di MMOTV